Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Zahid: JPPM urus pendaftaran PH tanpa campur tangan KDN

 | November 20, 2017

Menteri dalam negeri beri jaminan JPPM bertindak secara bebas, PH perlu selesaikan masalah berkenaan DAP dan PPBM terlebih dahulu.

zahid-ph-ros1KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata walaupun Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) terletak bawah kementeriannya, beliau tidak campur tangan dalam urusan JPPM melulus atau menolak permohonan pendaftaran Pakatan Harapan.

Menteri dalam negeri berkata tiada unsur politik dalam isu sekitar permohonan itu dan memberi jaminan JPPM akan menjalankan tugas secara profesional.

“Ia isu teknikal. JPPM bawah KDN tetapi saya tidak terlibat dalam sebarang cadangan untuk menerima atau menolak mana-mana permohonan,” katanya hari ini.

Beliau turut meminta PH menyelesaikan masalah berkenaan DAP dan PPBM sebelum JPPM melihat permohonan mendaftarkan gabungan parti pembangkang itu.

Zahid bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Jemaah Menteri tentang pembanterasan dadah di Dewan Rakyat.

Beliau mengulas pertemuan antara Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Setiausaha KDN Datuk Sri Alwi Ibrahim di Putrajaya.

Zahid berkata Dr Mahathir meminta permohonan mendaftarkan PH sebagai sebuah gabungan diluluskan. “KSU berkata PH mesti ikut semua peraturan untuk pendaftaran. Buat masa ini, permohonan tidak boleh diluluskan kerana terdapat beberapa prosedur yang mereka belum selesaikan,” katanya.

Beliau menjelaskan JPPM berkata penangguhan dalam pendaftaran gabungan itu kerana PPBM dan DAP. “JPPM belum menerima laporan pemilihan baharu CEC yang diadakan pada 12 November, dan PPBM gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan sejak pendaftaran diluluskan.”

Walaupun kongres khas diadakan dan barisan baharu dipilih seperti yang diarah JPPM, ia masih belum diiktiraf kerana parti itu belum menyerahkan laporan.

Sementara itu, PPBM gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan di peringkat bahagian dan pusat dengan kuorum minimum yang diperlukan.

Mesyuarat dihadiri Alwi, Ketua Pengarah JPPM Surayati Ibrahim, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi DAP Tan Kok Kawi.

Alwi berkata JPPM perlu mematuhi peraturan dan prosedur yang sudah ditetapkan dan setiap parti perlu mematuhi perlembagaan masing-masing.

“Mereka perlu selesaikan isu DAP dan PPBM sebelum kita boleh ambil langkah seterusnya dalam proses pendaftaran,” katanya kepada pemberita.

DAP baru-baru ini mengadakan pemilihan semula jawatankuasa eksekutif pusat susulan pertikaian ke atas barisan kepimpinan 2012.

Dr Mahathir sebelum ini berkata gabungan itu belum menerima sebarang berita daripada JPPM sama ada permohonan diterima atau ditolak.

Pemimpin DAP Gobind Singh Deo berkata mereka mungkin akan bawa JPPM ke mahkamah jika gagal respon kepada permohonan itu. Menurut beliau, parti komponen membuat permohonan kepada JPPM pada 28 Julai tetapi tiada maklum balas sehingga kini. PH sekali lagi menulis pada 21 Ogos memohon pertemuan untuk membincangkan permohonan itu.

Beliau menambah mereka kemudian menghantar notis kepada JPPM pada 25 Oktober meminta jabatan respon kepada permohonan itu dalam masa 14 hari selepas menerima surat itu.

PH menyerahkan draf perlembagaan kepada JPPM pada 24 Julai dan logo pada 28 Julai. JPPM bagaimanapun mengarahkan PH menggunakan nama penuh “Pakatan Harapan” menggantikan “Harapan” pada logo.

Gabungan itu, terdiri daripada DAP, PKR, Amanah dan PPBM, mengubah logo dan menyerahkan versi baharu untuk melengkapi permohonan sebelum ini.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments