Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Mahu ke Syria sertai keganasan, 2 dipenjara

 | November 21, 2017

Timbalan pendakwa raya memohon hukuman setimpal, mengambil kira faktor kepentingan awam, pengajaran kepada tertuduh sebagai amaran kepada orang awam.

jail-isisKUALA LUMPUR: Dua rakan hari ini masing-masing dihukum penjara 8 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini kerana cuba memasuki Syria untuk melakukan aktiviti keganasan.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap juruteknik syarikat swasta, Mohd Ridwan Mohd Musa, 30, dan juruwang stesen minyak, Zulfadhli Jafri, 25, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan berniat pergi ke Syria melakukan perbuatan keganasan melalui Bangkok, Thailand dan Turki.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh mereka ditangkap pada 30 Oktober 2016.

Azman berkata sebagai anak kedua daripada 8 adik-beradik, Mohd Ridwan mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga dan bukannya terlibat dengan perbuatan yang tidak bermanfaat.

“Jaga keluarga kamu, itu jihad paling besar. Beri duit kepada ibu bapa pun boleh masuk syurga. Tak perlu berjihad sampai ke Syria atau mana-mana negara yang bergolak untuk masuk syurga.

“Lebih baik mencari pahala dengan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang anak daripada pergi berjihad tanpa mengetahui ideologi sebenar kumpulan pengganas IS,” nasihat hakim itu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Kompleks Imigresen, Padang Besar, Perlis Indera Kayangan, pada 2.46 petang, 23 Oktober 2016 mengikut Seksyen 130JA Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan hendaklah dikenakan denda.

Terdahulu, Mohd Ridwan yang diwakili peguam Mohd Hezri Shaharil merayu hukuman ringan atas alasan tertuduh masih muda, layak diberi peluang kedua dan dia juga tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Zulfadhli yang tidak diwakili peguam merayu hukuman setimpal dengan kesalahan yang dilakukannya.

Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam dan hukuman berbentuk pengajaran kepada kedua-dua tertuduh sebagai amaran kepada orang awam supaya tidak terbabit dalam kes ini.

 


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments