Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Demo hambar tapi rakyat sokong di media sosial

 | November 22, 2017

Pakatan Harapan berkata demikian selepas media melaporkan himpunan bantah kenaikan harga minyak di depan Parlimen kurang mendapat sambutan.

VIDEO INSIDE
Barisan pemimpin Pemuda PH mengadakan sidang media di depan bangunan Parlimen hari ini.

Barisan pemimpin Pemuda PH mengadakan sidang media di depan bangunan Parlimen hari ini.

KUALA LUMPUR: Walaupun himpunan bantah kenaikan harga minyak di depan Parlimen semalam kelihatan hambar, Naib Presiden Amanah Datuk Mujahid Yusof berkata rakyat menunjukkan sokongan menerusi media sosial.

“Walaupun mereka kata tidak dapat sambutan, hanya beberapa kerat sahaja turun, tuan-tuan jangan lupa setiap kali kita buat ‘live’ Facebook, berpuluh ribu yang menonton.

“Kita juga mendapat sokongan setiap kereta yang lalu, mereka memberi hon termasuk Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN),” katanya pada sidang media bersama pemimpin PH di depan Parlimen hari ini.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya Amanah Dr Hatta Ramli berkata walaupun jumlah yang turun di lapangan agak hambar, tunjuk perasaan itu mewakili rakyat yang membantah kenaikan harga minyak.

“Rasa tidak puas hati banyak cara boleh tunjukkan, ada yang berhimpun, ada yang berharap-harap, ada yang berdoa. Jadi kombinasi ini akan menghasilkan mesej kepada kerajaan,” katanya.

Beliau bagaimanapun merasakan lebih baik rakyat turun beramai-ramai menunjukkan perasaan tidak puas hati supaya mesej lebih jelas disampaikan kepada pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Semalam media melaporkan himpunan yang bermula malam Isnin kurang mendapat sambutan apabila hanya 20 orang menyertainya dan jumlah itu berkurangan menjelang petang semalam. Lapan orang masih berhimpun walaupun hujan lebat dan rampasan khemah oleh pihak berkuasa, dan dijangka meneruskan bantahan sehingga jam 6.00 petang sebaik sahaja harga minyak baharu diumumkan.

“Hujan lebat. Kami masih meneruskan ‘flashmob’ di depan Parlimen walau tanpa tempat berteduh. Tanpa khemah dan kami akan terus di sini,” katanya Naib Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir.

Dalam sidang media sama, Pemuda PH turut melancarkan kempen “Turun Harga Minyak, Turun Najib” atau “Turun Turun” bagi mendesak kerajaan segera mengembalikan subsidi bahan api sebanyak RM1 bilion, yang menurut mereka mampu mengurangkan harga sebanyak 20 sen untuk setiap liter minyak.

Kempen “Turun Turun” kesinambungan daripada protes berkhemah selama 42 jam di depan Parlimen, yang diadakan pada 21 November sehingga petang 22 November hari ini, apabila harga bagi RON95, RON97 dan diesel untuk minggu berikutnya diumumkan.

Protes tersebut diadakan selepas harga minyak mencatat rekod tertinggi – RON95 (RM2.38 seliter), RON97 (RM2.66 seliter) dan diesel (RM2.25 seliter), sejak kerajaan mula memperkenalkan sistem harga apungan mingguan.

Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata melalui kempen itu juga pihaknya akan mengadakan program penerangan di peringkat akar umbi termasuk rapat umum.

“Bersama Gerakan Turun Harga Minyak (Gertak), Pemuda PH juga akan meneruskan program ‘flashmob’ mingguan pada setiap Rabu dan menggerakkan petisyen bantahan bagi mewujudkan momentum bantahan yang berterusan,” katanya sambil memaklumkan himpunan kemuncak akan dibuat pada 31 Disember di Kuala Lumpur.

Antara pemimpin PH yang turut hadir ialah Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad; Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Raja Kamarul Bahrin; Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin; Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming; Ketua Pemuda Amanah, Sany Hamzan serta penyokong.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments