Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

KDNK 6.2? Rakyat tak rasa ekonomi semakin baik, kata ahli akademi

 | November 22, 2017

Prof USM berkata ahli politik tidak sedar apa yang berlaku di bawah dan pihak berkuasa cuba menutup keadaan sebenar.

Mohamed-Ghouse-Nasuruddin_ekonomi-Malaysia_600

PETALING JAYA: Seorang ahli akademi hari ini bersetuju dengan Perkasa yang mengatakan majoriti rakyat yang hidup bawah garis kemiskinan adalah Bumiputera.

Prof Emeritus di Universiti Sains Malaysia, Mohamed Ghouse Nasuruddin, berkata keadaan itu disebabkan kegagalan menyampaikan peruntukan ekonomi.

Beliau berkata kerajaan mempunyai wang tetapi tidak menggunakannya dengan baik. Kerajaan sepatutnya memotong peruntukan untuk “perkara yang tidak perlu” seperti berbilion ringgit yang diperuntukkan kepada Jabatan Perdana Menteri, dan menggunakannya untuk perkara lebih baik.

Ghouse berkata walaupun kerajaan cuba membantu golongan Bumiputera miskin, terutama di kawasan luar bandar, kebocoran dan kelemahan dalam mekanisme penyampaian menyebabkan ramai Bumiputera bergelut mencari nafkah.

“Kalau kamu ke Kelantan, Terengganu, atau sesetengah kawasan di Pulau Pinang, kamu boleh nampak ramai orang miskin. Peruntukan yang sepatutnya disalurkan kepada mereka tidak sampai kepada rakyat kerana ada kecacatan pada mekanisme penyampaian.

“Pihak berkuasa pula tidak peduli. Ahli politik, ke mana sahaja mereka pergi, diletakkan dalam keadaan yang diadakan. Kerana itu, mereka sebenarnya tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku di bawah,” katanya kepada FMt.

Turut tidak membantu ialah pihak berkuasa enggan mengakui masalah di lapangan, sebaliknya lebih gemar menutup masalah itu, katanya.

Beliau memberi contoh penekanan Bank Negara Malaysia pada pertumbuhan ekonomi 6.2% pada suku tahun ketiga 2017.

Beliau berkata meskipun bank pusat menggambarkan keadaan ekonomi yang baik, rakyat di bawah melihat keadaan yang berbeza.

“Ahli politik perlu turun padang dan tengok sendiri keadaan sebenar di bawah, kerana di bawah majoriti Bumiputera, termasuk di Sabah dan Sarawak, mengalami masalah kewangan.

“Orang Melayu contohnya lebih bertani. Mereka bekerja di luar bandar tetapi kerana kekurangan prasarana, pulangan tidak besar.”

Ghouse berkata kebanyakan prasarana disediakan di kawasan bandar dan begitu juga kebanyakan pembangunan, menyebabkan warga desa tidak diberi prasarana secukupnya.

Beliau berkata bantuan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak banyak membantu seperti yang kerajaan sangkakan. Bantuan itu tidak mencukupi untuk rakyat menangani kenaikan harga barangan dan kadar inflasi, katanya.

“Salurkan wang itu kepada sektor yang sangat diperlukan. Tetapi kita benar-benar perlukan profesional untuk lakukan tinjauan dan cari cara terbaik memperuntukkan dana itu.

“Kita ada wang, tetapi kita tak gunakan untuk manfaat rakyat.”


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments