Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Malaysia, Indonesia setuju bebaskan nelayan ditahan

 | November 22, 2017

Najib berkata, kedua-dua pihak bersetuju nelayan-nelayan terbabit dibebaskan segera agar mereka dapat meneruskan kehidupan di tanah air masing-masing.

najib_joko1

KUCHING: Malaysia dan Indonesia mencapai kata sepakat untuk membebaskan dengan segera semua nelayan ditahan oleh mana-mana satu negara kerana menceroboh kawasan perairan masing-masing.

Kata sepakat itu dicapai antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Indonesia Joko Widodo pada Majlis Perundingan Tahunan ke-12 Malaysia-Indonesia hari ini.

“Kami prihatin mereka ini (nelayan) orang miskin dan tidak adil kita tutup mata pencarian mereka,” kata Perdana Menteri pada sidang media bersama Joko selepas rundingan itu.

Najib berkata, kedua-dua pihak bersetuju nelayan-nelayan terbabit dibebaskan segera agar mereka dapat meneruskan kehidupan di tanah air masing-masing.

Beliau juga berkata rundingan kali ini mencapai kejayaan kerana banyak isu bersama yang dibincangkan dan mendapat kata sepakat, sekali gus memperlihatkan hubungan bilateral yang berada dalam keadaan sangat baik.

“Kita bersepakat dalam banyak isu termasuk politik, ekonomi, sosial dan kerjasama perbatasan dan kesediaan kedua-dua pemerintah negara menyelesaikan isu terbabit akan membuka banyak peluang bagi rakyat kedua-dua negara,” kata Najib.

Menurut beliau, tumpuan pada rundingan kali ini adalah mengenai isu sekatan pembelian minyak sawit dari Malaysia dan Indonesia oleh Kesatuan Eropah (EU).

Katanya, Malaysia dan Indonesia bersependapat tindakan tersebut tidak adil dan tidak patut diteruskan kerana ia akan menyebabkan kira-kira 600,000 rakyat Malaysia dan 13.5 juta rakyat Indonesia terjejas punca rezeki.

Sebelum ini, Malaysia, Indonesia, Thailand dan Papua New Guinea selaku negara pengeluar sawit dilaporkan akan bekerjasama menentang diskriminasi sekatan eksport minyak sawit ke negara EU.

Perdana Menteri berkata semua negara pengeluar kelapa sawit perlu mempunyai pendirian sama bagi mengatasi masalah itu, terutama menolak persepsi negatif bahawa penanaman kelapa sawit memusnahkan hutan, yang dilemparkan oleh Ahli Parlimen Eropah (MEP).

Perdana Menteri berkata satu perjumpaan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong telah diadakan bersama kepimpinan Parlimen Eropah, Pesuruhjaya EU dan Ahli Parlimen EU (MEP) bagi membincangkan isu berkenaan.

Najib berkata, kerajaan kedua-dua negara akan menghantar wakil ke Kesatuan Eropah untuk membantah tindakan tersebut.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments