Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Musa Aman: Rekod lebihan belanjawan Sabah 16 tahun berturut-turut

 | November 22, 2017

Pencapaian itu membuktikan keberkesanan kerajaan negeri menguruskan kewangan Sabah, kata ketua menteri.

musa-aman-sabajKOTA KINABALU: Sabah merekodkan kedudukan belanjawan surplus atau lebihan selama 16 tahun berturut-turut, membuktikan keberkesanan kerajaan negeri menguruskan kewangan negeri, kata Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman.

Musa sewaktu menggulung ucapan Bajet Sabah 2018 berkata semasa permohonan perbekalan tambahan, anggaran yang disemak kadangkala menunjukkan defisit.

“Sukacita saya menyatakan bahawa akaun hasil yang disatukan kerajaan negeri yang telah diaudit setiap tahun sebenarnya telah merekodkan kedudukan lebihan selama 16 tahun berturut-turut, iaitu sejak 2001,” kata Musa di Dewan Undangan Negeri hari ini.

“Dengan kedudukan lebihan ini, ia jelas membuktikan kerajaan negeri telah melaksanakan pengurusan kewangan dengan efisien dan efektif.”

Menteri kewangan negeri itu berkata tema Bajet Sabah 2018 jelas menggambarkan belanjawan itu untuk manfaat rakyat.

“Hasil yang dikutip oleh kerajaan setiap tahun akan sentiasa kita salurkan semula kepada rakyat untuk kemudahan dan faedah mereka,” katanya.

“Lebihan ini akan dijadikan sebahagian daripada simpanan untuk bekalan perbelanjaan pada masa depan.

Agihan peruntukan pembangunan tahunan RM838.31 juta untuk tahun depan hanya sebahagian daripada keseluruhan perancangan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 yang dirangka berdasarkan kemampuan negeri bagi tempoh masa 5 tahun.

“Ia juga mencerminkan kapasiti jentera pelaksana untuk melaksanakan projek pembangunan di negeri ini,” katanya.

“Justeru, ianya tidak bermakna peruntukan untuk pembangunan adalah tidak mencukupi.

“Sebenarnya, saban tahun belanjawan yang dirangka adalah untuk membangunkan seluruh negeri tanpa mengira sama ada peruntukan kewangan disediakan di bawah perbekalan atau pembangunan.”

Musa turut menjawab beberapa isu yang dibangkitkan berkenaan peruntukan khas yang disebutkan dalam ucapan Bajet 2018 dan sekali lagi menegaskan peruntukan itu bukan bajet pilihan raya.

“Peruntukan khas tersebut adalah bagi program baharu, selain dari program sedia ada, yang telah dicadangkan dan akan dilaksanakan oleh kementerian, jabatan dan agensi yang dikenalpasti,” katanya.

Beliau sempat membidas wakil rakyat pembangkang yang mengkritik belanjawan tahun depan tidak berbeza dari belanjawan sebelumnya.

“Penggubalan bajet tahunan bukanlah satu tugasan yang boleh dianggap sebagai remeh temeh. Ianya melibatkan proses yang panjang dan perlu dilakukan secara teratur,” katanya.

“Menyatakan Bajet 2018 tidak berbeza dari bajet sebelumnya adalah tidak adil kepada pegawai kerajaan negeri yang telah bekerja keras dan bertungkus lumus merancang, memproses dan menyiapkan bajet.”

Musa turut berkongsi cabaran yang didepani kerajaan negeri seperti kenaikan harga komoditi seperti petroleum dan minyak sawit yang di luar kawalannya.

Musa pada Jumaat mengumumkan belanjawan RM4.1 bilion, dengan lebihan RM64.89 juta daripada keseluruhan hasil, seganda daripada lebihan yang diumumkan tahun lepas.

Tarikan utama belanjawan itu ialah kenaikan peruntukan khas sebanyak 100%, untuk wanita, ibu tunggal, warga emas, orang kurang upaya, belia dan warga desa, meningkat dari RM53 juta kepada RM115 juta tahun depan.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments