Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

‘Silap kira, 52 undi tak sokong RUU Perbekalan KPDNKK, bukan 51’

 | November 22, 2017

Ketua Whip Parlimen PKR, Johari Abdul berkata, hasil semakan beliau mendapati undi menyokong dan menentang RUU Perbekalan KPDNKK adalah sama, iaitu 52 undi.

DEWAN RAKYAT

johari-abdul

KUALA LUMPUR: Ketua Whip Parlimen PKR hari ini mendakwa berlaku kesilapan dalam proses pengiraan undi Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2018 untuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), pada malam Isnin lalu.

Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) berkata, hasil semakan beliau mendapati undi menyokong dan menentang RUU itu adalah sama, iaitu 52 undi.

“Setelah kita semak semula, yang menyokong adalah 52 (undi), yang tidak menyokong (juga) adalah 52, bukannya 51 (undi),” katanya selepas sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Sehubungan itu, beliau memohon Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Ismail Mohamed Said mempertimbangkan keputusan dibuat rakan sejawatannya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, kelmarin.

“Saya berdiri untuk meminta petua speaker (Ismail), kerana dalam proses pengiraan undi semasa RUU Perbekalan 2018 untuk KPDNKK pada 20 November lalu terdapat khilaf (kesilapan).”

Isnin lalu, RUU itu diluluskan dengan perbezaan 1 undi, iaitu 52 undi menyokong, 51 undi menentang dan 2 ahli Parlimen tidak mengundi.

Kekecohan berlaku selepas Ronald mengumumkan keputusan itu, di mana Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara), Mohamad Imran Abdul Hamid (PKR-Lumut), Su Keong Siong (DAP-Ipoh Timur) menjerit “tipu” kepada Ronald.

Beberapa wakil rakyat BN didakwa lewat memasuki Dewan tetapi dibenarkan mengundi. Mereka termasuk Datuk Raime Unggi (BN-Tenom), Datuk Koh Nai Kwong (BN-Alor Gajah), Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera).

Ismail bagaimanapun berkata, beliau tidak berhasrat menyemak semula undian yang dibuat ahli Parlimen ketika itu kerana keputusan dibuat Ronald adalah muktamad.

“Undian belah bahagi kita jalankan ikut Peraturan Mesyuarat dan penghitung undian juga sudah diserahkan secara rasmi kepada setiausaha dewan.

“Setiausaha dewan juga sudah memastikan undian adalah betul dan sudah diumumkan speaker ketika itu (Ronald). Saya kira, keputusan itu muktamad,” katanya.

Johari berkata, beliau juga sedar Peraturan Mesyuarat 99 di Dewan Rakyat menyatakan keputusan dibuat speaker dalam Dewan Rakyat adalah muktamad.

Sementara itu, ketika menghadiri karnival buah-buahan di luar Dewan Rakyat, beliau berkata, pembangkang akan mendedahkan senarai penuh 52 ahli Parlimen yang mengundi membantah RUU itu.

“Kami akan berbuat demikian menjelang tengah hari esok,” kata Johari.

Semalam, Azalina yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri menggesa ahli Parlimen pembangkang menghormati keputusan Ronald.

Katanya, pembangkang seolah-olah tidak boleh menerima keputusan itu apabila kalah dengan majoriti tipis sehingga menimbulkan kekecohan di Dewan Rakyat.

RUU perbekalan KPDNKK lulus dengan laungan ‘tipu’

Azalina gesa pembangkang terima hakikat kalah, tak perlu kecoh


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments