Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Wanita Vietnam bergelar ‘Datuk’ sekali lagi didakwa

 | November 22, 2017

Datuk Maimunah atau nama sebenar, Tran Thi Mai, merupakan ejen menguruskan lesen kapal kargo, mengaku tidak bersalah terhadap 2 pertuduhan yang dikenakan ke atas beliau.

vietname

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan wanita warga Vietnam bergelar Datuk yang pernah didakwa atas kesalahan rasuah sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 2 pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM350,000 kepada pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sebagai dorongan melepaskan 4 bot nelayan Vietnam.

Tertuduh, Datuk Maimunah atau nama sebenarnya Tran Thi Mai, 41, merupakan ejen menguruskan lesen kapal kargo, mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa secara rasuah memberi wang berjumlah RM300,000 kepada Muhammad Sani Abdullah, 31, bagi pihak Amran Daud, 55, yang merupakan Pengarah Maritim Daerah Sedili, Johor.

Wang itu didakwa sebagai sebagai dorongan melepaskan 3 bot nelayan Vietnam ditahan APMM Tanjung Sedili, Kota Tinggi, yang disyaki melakukan kesalahan menceroboh perairan Malaysia untuk menangkap hasil laut.

Wanita 4 anak itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di Hot Gossip Cafe, Hotel Park Royal, Jalan Bukit Bintang, antara jam 6.30 petang dan 7.30 malam 2 Mei lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahaan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Tran didakwa melakukan perbuatan sama berjumlah RM50,000 bagi melepaskan sebuah bot nelayan Vietnam, di Kafe Starbucks, Pearl Point Shopping Mall.00 pada jam 4 petang, 12 Mei lalu mengikut seksyen sama.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa SPRM, Wan Ahmad Nizam Wan Omar menawarkan jaminan sebanyak RM500,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan 2 penjamin warga tempatan.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam G K Sritharan memohon jumlah jaminan itu dikurangkan atas alasan tertuduh mempunyai tanggungan keluarga.

“Tertuduh merupakan ibu 4 anak yang mana 2 anaknya masih belajar di sebuah sekolah antarabangsa di Kuantan manakala dua lagi berada di Vietnam.

“Selain itu, tertuduh sebelum ini telah pun diberikan jaminan sebanyak RM100,000 di Mahkamah Kuantan atas pertuduhan rasuah membabitkan jumlah RM800,000,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM250,000 berserta 2 orang penjamin warga tempatan dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah serta melaporkan diri ke balai polis sebulan sekali seperti ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Kuantan sebelum ini.

Mahkamah menetapkan 20 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Pada 10 November lalu, wanita tersebut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas pertuduhan menawarkan wang tunai RM800,000 kepada seorang pegawai SPRM yang menyamar sebagai orang tengah untuk diserahkan kepada 2 kapten APMM.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments