Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Kes malaria di Sabah meningkat lebih 170%

 | November 23, 2017

Sejumlah 1,660 kes atau peningkatan sebanyak 173.5% dilaporkan kepada Jabatan Kesihatan Sabah dalam tempoh setahun.

malariaKOTA KINABALU: Malaria merupakan antara kes penyakit berjangkit yang mencatatkan peningkatan di Sabah dengan sejumlah 1,660 kes dilaporkan kepada Jabatan Kesihatan negeri hingga 11 November tahun ini.

Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk Edward Yong Oui Fah berkata ia meningkat sebanyak 173.5% berbanding kes malaria dilaporkan pada minggu epid sama tahun lepas.

Yong berkata 5 daerah melaporkan kes malaria tertinggi adalah Ranau (273 kes), Keningau (270 kes), Tenom (171 kes), Kudat (110 kes) dan Nabawan (110 kes).

“Antara langkah kawalan penyakit malaria adalah pengesanan dan rawatan awal, pengurusan vektor bersepadu serta kolaborasi dengan agensi lain bagi mencegah penyakit berkenaan,” katanya menjawab soalan Adun Sebatik Datuk Abd Muis Picho pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.

Abd Muis (BN-Sebatik) ingin tahu apakah jenis penyakit berjangkit yang paling banyak dihidapi oleh rakyat Sabah dan apakah langkah diambil untuk mencegahnya.

Yong berkata penyakit tuberkulosis (tibi) juga mencatatkan peningkatan iaitu 4,251 kes dilaporkan hingga 11 November tahun ini, meningkat 1.12% berbanding dengan minggu epid sama pada 2016.

Beliau berkata 5 daerah melaporkan kes tibi tertinggi ialah Kota Kinabalu (711 kes), Tawau (463 kes), Sandakan (414 kes), Lahad Datu (288 kes) dan Semporna (287 kes).

“Jumlah notifikasi warga asing dilaporkan menghidap tibi di Sabah ialah 1,186 orang,” katanya.

Beliau berkata perkhidmatan bas saringan Tibi Bergerak adalah antara langkah kawalan dan pencegahan dilaksanakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengesan tibi melalui ujian x-ray dada kepada penduduk tempatan berisiko tinggi terutama mereka yang tinggal jauh dari pusat kesihatan.

Bagaimanapun Yong berkata kes demam denggi mencatatkan penurunan sebanyak 36.26% atau 2,074 kes dilaporkan setakat 11 November tahun ini berbanding 3,245 kes pada minggu epid sama tahun lepas.

Beliau berkata 5 daerah melaporkan kes demam denggi tertinggi ialah Kota Kinabalu (374 kes), Sandakan (235 kes), Tawau (259 kes), Semporna (189 kes) dan Lahad Datu (165 kes), selain terdapat 5 kematian dilaporkan sepanjang 2017.

KKM melalui Jabatan Kesihatan negeri akan terus mempertingkat langkah kawalan dan pencegahan semua penyakit berjangkit di Sabah khususnya penyakit endemik atau penyakit memudaratkan kesihatan awam, katanya.

 


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments