Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Kristian Sabah hormati Islam sebagai agama rasmi, kata Lajim

 | November 23, 2017

Pemimpin pembangkang negeri mempertikaikan mengapa Pandikar Amin Mulia timbulkan isu mengeluarkan Islam sebagai agama rasmi 40 tahun selepas ia termaktub.

lajim-ukin-pandikar-sabah-christian-1KOTA KINABALU: Pemimpin pembangkang Sabah Datuk Seri Lajim Ukin hari ini membidas parti dan individu yang cuba menggunakan isu sensitif untuk manfaat politik.

Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah itu berkata pindaan 1974 pada Perlembagaan Sabah yang menjadikan Islam agama rasmi negeri diluluskan ketika pentadbiran Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) dengan persetujuan para pemimpin berbilang agama dan kaum dalam jemaah menteri ketika itu, termasuk yang beragama Kristian.

“Kenapa sekarang mahu cakap, lepas lebih 40 tahun timbul lagi? Isu agama ini isu sensitif. Kita di Sabah ini ramai lain-lain agama. Soalnya, mengapa sekarang tiba-tiba muncul satu isu yang sensitif?” katanya pada sidang media selepas penangguhan sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.

Baru-baru ini, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia mencabar pemimpin pembangkang Sabah yang beragama Kristian menjelaskan sama ada mereka akan mengeluarkan Islam sebagai agama rasmi negeri sekiranya menang pilihan raya negeri.

Pandikar turut bertanyakan mengapa sepanjang 9 tahun mentadbir Sabah, dari 1985 hingga 1994, Parti Bersatu Sabah (PBS) tidak pula “membetulkan” isu itu.

Lajim berkata meskipun PBS ketika itu memiliki majoriti 2/3, ketua menteri pada masa itu Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, seorang Kristian Roman Katolik, tidak berniat meminda Perlembagaan Negeri untuk mengubah agama rasmi.

“Saya pada waktu itu dalam PBS. Seolah-olah cabaran ini ditujukan kepada PBS. Tidak pernah ada satu perkataan pun keluar dari PBS untuk ubah balik agama rasmi.

“Walaupun begitu, tidak ada pernah agama-agama lain disekat menganut agama lain, kenapa sekarang timbulkan isu ini. Bukankah ini satu yang merugikan bukan saja Sabah tapi juga Malaysia?”

Katanya, semasa bersama PBS dan cadangannya kepada Pairin, kerajaan negeri akan menaja 300 pemimpin agama Islam mengerjakan haji setiap tahun dari 1990 dan 1994.

Meskipun begitu, tiada orang Kristian yang datang kepada mereka minta dihantar ke Rom.

“Ada persefahaman antara agama di negeri ini yang orang Kristian tidak akan pertikaikan. Kita hidup harmoni jadi mengapa timbulkan isu yang boleh memecah-belahkan rakyat?” katanya.

Adun Klias memuji kerajaan kerana keterbukaan dalam persoalan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) walaupun speaker menolak 2 usul dari Parti Warisan Sabah dan Parti Cinta Sabah yang mahu membincangkan isu itu.

Isu itu dibahaskan secara panjang lebar pada hari kedua persidangan pada sesi soal jawab bersama Menteri Tugas-tugas Khas Datuk Seri Teo Chee Kang yang menerima soalan daripada pembangkang dan meluangkan masa 1 jam menjawab soalan tambahan.

“Nampaknya Teo bersetuju kita semua bersama dalam perkara ini dan kita berkongsi matlamat – menuntut semula hak kita mengikut MA63. Nampaknya ada keterbukaan daripada kerajaan.

“Ini perjuangan teras kita; dapatkan semua hak Sabah seperti yang dinyatakan dalam MA63,” katanya.

Lajim sempat memuji menteri negeri dan Adun BN lain. Beliau berkata wakil rakyat dari kedua-dua belah lebih tenang dan bertolak ansur berbanding sidang terdahulu.

Beliau berkata Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman terutamanya lebih tenang dan sikap itu nampaknya diikuti wakil rakyat BN lain.

“Kerana mereka sedar isu yang kita bangkitkan ada asas, contohnya soal gaji minima yang sesetengah majikan tidak patuhi,” katanya.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments