Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

YouTube pertingkat penguatkuasaan kandungan kanak-kanak

 | November 23, 2017

Ini juga selepas beberapa laporan mempersoalkan ledakan video di YouTube yang disasarkan kepada kanak-kanak tetapi memaparkan kandungan seksual dan jenaka dewasa.

youtube

CALIFORNIA: YouTube mempertingkatkan penguatkuasaan garis panduan untuk video yang disasarkan kepada kanak-kanak, menurut Google semalam yang mengulas berhubung kritikan mengatakan pihaknya gagal melindungi kanak-kanak daripada menonton kandungan dewasa.

Perkhidmatan penstriman video itu membuang 50 saluran pengguna minggu lepas dan menghentikan siaran iklan pada lebih 3.5 juta video sejak Jun, kata Naib Presiden YouTube Johanna Wright, dalam satu tulisan blognya.

“Kita telah tingkatkan sumber untuk memastikan ribuan orang menyelia, menyemak semula dan membuat keputusan tepat berdasarkan dasar iklan dan kandungan kami secara menyeluruh,” kata Wright.

“Perubahan dalam penguatkuasaan ini dapat dilihat hasilnya dalam beberapa minggu dan bulan akan datang sambil kami menyelesaikan cabaran yang sentiasa berubah ini.”

YouTube antara operasi Google paling pesat berkembang dari segi jualan kerana memudahkan proses mengagihkan video atas talian tetapi meletakkan had yang sedikit ke atas kandungan.

Ibu bapa, penguasa, pengiklan dan penguatkuasa undang-undang semakin bimbang dengan keterbukaan perkhidmatan itu.

Mereka berkeras mengatakan Google harus lebih bertanggungjawab dalam membuang dan menyekat akses kepada video tidak sepatutnya, sama ada yang memaparkan propaganda pelampau agama dan Rusia atau sketsa komedi yang menunjukkan kanak-kanak dilemaskan secara paksa.

Kebimbangan tentang video kanak-kanak ini menjadi semakin serius sejak 2 minggu lalu selepas laporan di BuzzFeed dan New York Times dan satu esei oleh penulis Britain, James Bridle mengetengahkan beberapa klip video yang boleh dipersoalkan.

Satu forum di platform internet Reddit yang digelar ElsaGate berdasarkan watak puteri oleh syarikat Walt Disney itu, juga menjadi tempat perbincangan video-video bermasalah itu.

Beberapa kiriman pada forum itu semalam menunjukkan sokongan ke atas tindakan YouTube sambil mengatakan penapisan perlu dilakukan lebih besar-besaran.

Ogranisasi yang menyelia kandungan atas talian untuk kanak-kanak, Common Sense Media, tidak serta merta mengulas berhubung pengumuman YouTube itu.

Wright mengatakan “usaha membanteras video-video bermasalah ini daripada YouTube” adalah untuk mencegah “satu trend semakin meluas sekitar kandungan YouTube yang cuba memperlihatkan sebagai mesra keluarga tetapi sebenarnya tidak”

Syarikat itu bergantung kepada permintaan semakan semula daripada pengguna, panel pakar dan program komputer automatik untuk membantu moderator mengenal pasti bahan yang patut dibuang.

Moderator kini diarahkan membuang video yang “memaparkan golongan bawah umur yang membahayakan kanak-kanak, walaupun ianya bukanlah niat pemuat naik tersebut,” kata Wright.

Video memaparkan watak terkenal “tetapi mengandungi tema dewasa atau jenaka dewasa” akan disekat dan hanya boleh diakses kepada dewasa, katanya.

Tambahan, fungsi memberi komen akan dihentikan pada mana-mana video yang mana komennya merujuk kepada kanak-kanak dalam cara “seksual atau pemangsa”.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments