Penganjur forum Kristologi mohon maaf kerana ‘bekas rahib’
Nur Fitrah berkata perkataan ‘bekas rahib’ yang dipaparkan pada poster acara akan dikeluarkan.
PETALING JAYA: Penganjur forum Kristologi meminta maaf kepada orang awam atas proster promosi mereka yang memaparkan speaker Irena Handono sebagai seorang bekas rahib.
Poster itu mempromosikan forum “Mengenali Kristologi”.
Penganjur forum, Nur Fitrah, berkata mereka menaikkan poster itu di laman Facebook untuk memaklumkan orang ramai tentang aktiviti NGO mereka yang baru ditubuhkan.
“Kami tidak menyangka laman kami mendapat capaian begitu luas. Kami memohon maaf sekiranya ada pihak tersinggung dengan poster iklan program kami ini,” kata badan itu dalam kenyataan.
“Kami juga mengucapkan ribuan terima kasih atas teguran dan keprihatinan semua pihak.
Forum akan diadakan di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) pada 9 dan 10 Disember.
Menurut Nur Fitrah, mereka dikritik orang Kristian Indonesia atas penggunaan perkataan “mantan rahib” walaupun wakil Irena mengesahkan beliau pernah menjadi seorang biarawati.
Menurut NGO itu, bagi orang Islam di Malaysia, seseorang yang pernah mengisytiharkan diri sebagai rahib dan melalui beberapa latihan kerahiban dianggap sebagai bekas rahib.
“(Bagaimanapun), fahaman ini rupanya bercanggah dengan istilah di sisi penganut Kristian. Calon rahib yang berhenti menjadi rahib atau rahib yang tidak memenuhi syarat ordinan (peraturan) tidak boleh digelar mantan rahib.
“Justeru, bagi mengelakkan pertikaian lebih panjang, Nur Fitrah akan menggugurkan perkataan mantan rahib dari poster iklan program kami,” tambah mereka.
Nur Fitrah selanjutnya menyatakan program itu hanya untuk orang Islam dan surat rasmi dan pengumuman menerusi sosial media hanya dihantar kepada kumpulan sasaran.
Mereka juga berkata, pihaknya mengundang Irena atas kapasitinya sebagai seorang speaker Islam dengan ilmu tentang Kristologi, untuk berkongsi ilmu dan pengalamannya.
Tambah mereka, kumpulan sasaran adalah pelajar Islam yang sedang mempelajari tentang perbandingan agama dan speaker Islam di Malaysia.
Sebelum ini, Setiausaha Eksekutif Bishops Conference of Indonesia, Edy Purwanto menyangkal dakwaan Irena dan berkata, wanita itu tidak menamatkan “pengajian”.
Purwanto dilaporkan berkata, hasil semakan gereja Indonesia 3 tahun lalu mendapati Irena menyertai Congregation of the Ursuline Sisters sebagai rahib pelatih untuk tempoh singkat.
Ini bukan kali pertama penganjur program berkaitan agama tidak melakukan semakan secukupnya bagi memastikan status speaker jemputan mereka.
Tahun lalu, seorang pendakwah Islam, Ayub Abdul Rahman yang mendakwa beliau ialah bekas paderi Kristian di Jerman, dijadualkan berucap di konvensyen “Mahrajan Ilmu Al-Quran Sabah 2016” di Kolej SIDMA Sabah.
Dalam poster yang dimuat naik ke laman Facebook Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah, Ayub disifatkan bekas paderi besar di Gereja St Augustine of Canterbury di “Frankfurter”, Jerman.
Namanya dikeluarkan daripada senarai speaker pada saat akhir dan poster baharu tanpa nama Ayub dimuat naik ke laman itu beberapa jam sebelum program berkenaan bermula.
Pengeluaran nama itu menyusuli sepucuk surat bertarikh 15 Januari 2016 yang muncul di media sosial menyangkal dakwaan Ayub.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Surat daripada Reverand Pierre W Whalon yang ditujukan kepada Reverend Datuk Ng Moon Hing, bishop Malaysia Barat seolah-olah mengesahkan spekulasi Ayub mungkin penyamar.