Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Rumah terlalu mahal? Tinggallah bersama keluarga

 | November 24, 2017

Ramai anak muda mengambil keputusan tinggal di rumah orang tua mereka, dan bagi Ernest Cheong, ia keputusan yang amat wajar.

ernest-cheong-property-rise-1

PETALING JAYA: Untuk kebanyakan anak muda, tinggal bersama keluarga menjadi pilihan terakhir kerana tidak memiliki rumah sendiri.

Seorang pakar hartanah veteran berkata ini mungkin keputusan terbaik.

Bercakap kepada FMT, Ernest Cheong berkata ianya semakin sukar untuk anak muda memiliki rumah sendiri.

Bagi yang berpendapatan bawah RM2,500 sebulan, mustahil untuk hidup di kawasan bandar, tambahnya.

“Pilihan pertama adalah membeli rumah sendiri, yang mana adalah mustahil. Pilihan ke-2 adalah menyewa tetapi kamu akan gunakan hampir separuh gaji hanya untuk membayar sewa.

“Pilihan terakhir adalah tinggal dengan keluarga. Ini yang terbaik. Beban menyewa tidak akan dipikul atas bahu kamu.”

Itu pun jika ibu bapa juga tinggal di bandar, tambahnya.

“Pilihan ke-4 adalah ‘balik kampung’ di mana ibu bapa tinggal jika mereka tidak berada di bandar.”

Cheong berkata, pilihan ini adalah lebih baik memandangkan kos hidup di luar Kuala Lumpur lebih rendah.

Beliau berkata rakyat masih boleh mencari rezeki di kampung dengan mengusahakan tanaman atau ladang, jika terdapat pillihan, yang mana adalah lebih baik daripada terpaksa bersusah payah di bandar.

Pengalaman sebenar

Pendapat Cheong dipersetujui beberapa anak muda ditemu bual FMT.

Mereka juga masih tinggal bersama ibu bapa atau sudah berpindah tinggal bersama keluarga mentua.

Nadia Harun Arsha, 28, berpindah masuk ke rumah mentuanya sejurus selepas berkahwin 3 tahun lepas.

Eksekutif pemasaran itu berkata beliau lega tinggal dengan ahli keluarga dan tidak perlu menyewa rumah kerana membolehkannya lebih berjimat.

Katanya, beliau sedang menyimpan wang untuk membuat pembayaran pendahuluan untuk membeli rumah suatu hari nanti.

“Saya sudah melihat rumah di banyak kawasan tapi harga mereka sangat mahal, agak mustahil untuk beli.

“Dengan duduk di rumah mentua, saya hanya perlu mengeluarkan duit sedikit iaitu untuk barangan dapur manakala ibu mentua menguruskan hal bil.”

Katanya, beliau juga tiada masalah untuk ke kerja kerana rumah mentuanya berdekatan pejabatnya.

Mohd Faisal Kamaruddin, 27, yang baru sahaja berkahwin, juga tinggal bersama ibu bapa isterinya di Kota Damansara.

Pada awalnya, beliau tidak menerima tawaran itu tetapi mereka tetap mahu beliau tinggal bersama, katanya.

“Mereka kata lebih baik saya tinggal bersama mereka dan bantu membayar yuran utiliti dan makanan dan tidak perlu membazir wang untuk menyewa kerana mereka mempunyai rumah sendiri.

“Mereka mahu saya tinggal bersama mereka, sekurang-kurangnya sehingga saya dapat menyimpan wang secukupnya untuk wang pendahuluan untuk rumah sendiri.”

Menurut Faisal, tinggal bersama keluarga mentua agak janggal pada mulanya tetapi lama kelamaan beliau sudah sesuaikan diri.

“Ia juga mengajar saya tentang tanggungjawab kerana saya membantu membeli barang rumah untuk isteri dan keluarganya.

“Walaupun saya harus bayar untuk makanan dan sebahagian daripada bayaran utiliti dan internet, saya masih mengeluarkan kurang daripada jumlah perlu dibayar jika saya menyewa rumah.”

Bukan hanya pengantin baru

Bukan sahaja pengantin baru yang menyuarakan kelegaan mereka kerana tinggal bersama ahli keluarga.

Zahara Aisyah Amir, 25, berkata beliau masih tinggal bersama ibu bapanya di Shah Alam.

Katanya kepada FMT, beliau bertuah kerana ibu bapa juga tinggal di bandar, maka beliau tidak perlu menyewa rumah atau bilik.

“Saya tidak rasa saya mampu menyewa rumah berdekatan pejabat di Kuala Lumpur kerana harga sewa pastinya mahal. Gaji saya seorang sahaja tidak cukup untuk membayar sewa.

“Walaupun saya tinggal di Shah Alam, perlu berulang alik ke pejabat dan hadapi kesesakan lalu lintas setiap hari, saya boleh hadapinya kerana saya hanya perlu menghabiskan wang untuk minyak.”

Zahara berkata simpanannya hanyalah suku daripada gajinya dan itu memang tidak cukup untuk membayar sewa jika beliau tidak tinggal bersama ibu bapa.

Amir Asyraf, 30, juga tinggal bersama ibu bapanya kerana ianya mustahil untuk menyewa.

“Saya tinggal di kawasan bandar dengan ibu bapa dan saya rasa untuk menyewa itu sangat mustahil dan membebankan,” katanya.

Jarak tempat kerja dan rumanhnya mengambil masa 50 minit tetapi beliau lebih sanggup hadapi perjalanan itu setiap hari daripada menyewa rumah berdekatan pejabatnya.

Awal bulan ini, Pengarah Institut Penyelidikan Khazanah Dr Suraya Ismail berkata menyewa sebuah rumah bukanlah satu pilihan kurang baik.

Tetapi menurutnya, harga sewa haruslah munasabah. Beliau juga menambah, ianya sukar untuk menyewa di Kuala Lumpur dan beberapa lokasi tumpuan di Selangor.

Pengarah Eksekutif syarikat hartanah Jones Lang Wootton, Prem Kumar, berkata pilihan menyewa menawarkan lebih banyak kefleksibelan dan memiliki sebuah rumah pada usia muda akan banyak menjejaskan pendapatan boleh guna seseorang.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments