RM150,000 lesap dari van keselamatan dalam 8 saat
Polis kemudiannya menahan 4 pengawal keselamatan di tempat kejadian dan tidak menolak kemungkinan ada orang dalam terbabit dalam kes itu.
PETALING JAYA: Dua perompak yang tidak bersenjata melarikan 3 beg berisi wang tunai berjumlah RM150,000 dari sebuah van syarikat kawalan keselamatan dalam masa 8 saat.
China Press melaporkan kejadian itu berlaku di depan sebuah bank di Seri Serdang, Selangor, pada jam 10.45 pagi semalam.
Polis kemudiannya menahan 4 pengawal keselamatan di tempat kejadian dan tidak menolak kemungkinan ada orang dalam terbabit dalam kes itu.
Akhbar itu difahamkan ketika kejadian, seorang pengawal keselamatan bersenjata api berada dalam van untuk menjaga beg berisi wang tunai itu, manakala 2 lagi pengawal keselamatan sedang mengambil wang di dalam bank.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian, seorang perompak bertopi keledar membuka pintu van dan dengan mudah menyerahkan 1 beg kepada rakan sejenayah.
Mereka kemudiannya mengambil 2 lagi beg sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal.
Rakaman CCTV menunjukkan pengawal keselamatan di dalam van itu hanya membuka pintu kenderaan dan memastikan penjenayah sudah beredar, sebelum berlari ke dalam bank untuk meminta bantuan.
Dua lagi pengawal keselamatan kemudiannya bergegas keluar dari bank dan memasuki van itu untuk memeriksa keadaan.
Menurut sumber, 2 perompak itu memakai sarung tangan dan tidak menggunakan sebarang senjata untuk merompak.
Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias dipetik Sin Chew Daily berkata, 4 suspek itu direman 4 hari sehingga Selasa ini dan tiada tangkapan lain setakat ini.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan polis giat memburu 2 penjenayah terbabit.
Lokasi kejadian hanya terletak 500m dari balai polis dan ketika kejadian, ada ramai orang berada di dalam dan luar bank terbabit, namun rompakan itu tidak disedari mereka.
Seorang tukang kasut yang berada kira-kira 20m dari van syarikat kawalan keselamatan itu memberitahu China Press, beliau sedang membaiki kasut pelanggan ketika kejadian dan tidak mendengar sebarang bunyi bising atau jeritan meminta tolong.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Katanya, beliau hanya tahu mengenai rompakan itu setibanya anggota polis di tempat kejadian.