‘Terima kasih Musa warta Wisma Radio Sabah bangunan warisan’
Persatuan Alumni Radio Sabah berkata, Musa membuat keputusan bijak dalam memulihara kesan dan peninggalan sejarah seperti WRS yang berpotensi dijadikan produk pelancongan negeri.
PETALING JAYA: Persatuan Alumni Radio Sabah (Rasa) mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Musa Aman atas usaha mewartakan Wisma Radio Sabah (WRS) yang berusia 55 tahun sebagai bangunan warisan budaya dan menyifatkannya hadiah istimewa buat mereka.
Presidennya, Datuk Gan Po Tiau menerusi satu kenyataan berkata, Musa membuat keputusan bijak dalam memulihara kesan dan peninggalan sejarah seperti WRS yang berpotensi dijadikan produk pelancongan negeri, menerusi pembentangan Bajet Sabah 2018 pada 17 November lalu.
“Bagi pihak Rasa, saya mengalu-alukan langkah untuk memulihara dan mengekalkan WRS, dan menganggap ia sebagai satu hadiah istimewa kepada persatuan kami.
“WRS mempunyai nilai nostalgia tinggi kepada kami bekas penyiar dan bangunan itu mempunyai sejarah tidak ternilai harganya kerana pernah dijadikan sekretariat oleh Suruhanjaya Cobbold pada Februari 1962, iaitu kira-kira setahun 7 bulan sebelum pengisytiharan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.”
Bangunan WRS siap dibina pada 1962 dan terletak di KM2.4 Jalan Tuaran.
Susulan pewartaan itu, Gan mencadangkan kementerian berkaitan mengambil tindakan segera untuk memagari bangunan WRS sebagai kawasan larangan bagi memastikan tiada pencerobohan.
“Rasa memang memperjuangkan pengekalan dan pemuliharaan ini, dan apa yang bakal dilakukan kerajaan negeri untuk mewartakan WRS sebagai bangunan dan tapak khazanah budaya adalah tepat pada masanya memandangkan bangunan itu semakin terbiar usang dan amat menyedihkan.”
Katanya, Rasa turut menyambut baik usaha kerajaan negeri meluluskan Rang Undang-undang Warisan Negeri 2017 pada sidang Dewan Undangan Negeri, kelmarin.
“Dasar pemuliharaan tapak warisan bersejarah mencerminkan keperihatinan dan cakna kepimpinan Musa yang sentiasa peka dengan keperluan dan kehendak semasa.”
Sementara itu, Gan berkata, Bajet Sabah 2018 dengan lebihan hasil untuk 4 tahun berturut-turut mencerminkan prestasi cemerlang kepimpinan Musa dalam mengurus dan mentadbir ekonomi demi kemajuan serta kesejahteraan rakyat.
“Bajet 2018 ini ternyata satu bajet holistik dan menekankan kepentingan rakyat pelbagai peringkat.
“Bajet ini mencerminkan Sabah sememangnya sedang menikmati kepesatan pembangunan amat luar biasa. Tak siapa boleh menafikannya. Rasa mengucapkan syabas kepada kerajaan negeri, khususnya ketua menteri.”
Pada 17 November lalu, Musa membentangkan perbelanjaan mengurus RM4.104 bilion untuk Sabah bagi 2018 dengan lebihan hasil RM64.89 juta, belanjawan lebihan sejak 2015.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Pentadbiran Musa turut mengumumkan kutipan hasil mencecah RM4.169 bilion, peningkatan 9.2% berbanding anggaran hasil 2017 dan keluaran dalam negeri kasar (KDNK) Sabah menunjukkan peningkatan memberangsangkan daripada 59.3 bilion pada 2011 kepada RM73.8 bilion pada 2016.