Zahid sokongan cadangan GPMS tubuh Suruhanjaya Pendidikan
Timbalan perdana menteri berkata, suruhanjaya itu akan memastikan semua dasar pendidikan negara tidak diubah walaupun menteri pendidikan dan pendidikan tinggi silih berganti.
PETALING JAYA: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyokong cadangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) untuk menubuhkan Suruhanjaya Pendidikan Negara bagi memastikan semua dasar pendidikan negara tidak diubah walaupun menteri pendidikan dan pendidikan tinggi silih berganti.
“Jangan jadikan murid-murid kita dan pelajar-pelajar dimasukkan dalam makmal ujian. Mereka bukan bahan uji kaji, mereka adalah aset negara kita,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Agung Tahunan GPMS ke-63 hari ini.
“Jangan ada agenda peribadi dalam sektor pendidikan, jangan ada pemikiran yang sempit. Kita mesti membangunkan bangsa kita dan negara kita di persada yang lebih memuncak dan menjanjikan pemerkasaan.”
Terdahulu, Presiden GPMS, Zamri Mohd Isa mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Pendidikan Negara supaya sistem pendidikan negara sentiasa konsisten dan berada di landasan tepat.
Mengulas lanjut, Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata, semua menteri pendidikan dan pendidikan tinggi perlu mematuhi apa sahaja keputusan dan usul dibuat suruhanjaya itu.
“Bukan saya menyalahkan mana-mana menteri pendidikan atau menteri pengajian tinggi sebelum itu…tidak. Saya memuji pencapaian menteri pendidikan yang ada sekarang…menteri pengajian tinggi yang ada sekarang.
“Tetapi, akan lebih dimantapkan apabila wujudnya suruhanjaya ini.”
Katanya, Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) yang sudah lama ditubuhkan tidak mencukupi.
“Kita mahu suruhanjaya (pendidikan negara) ini mengungguli dasar-dasar pendidikan yang harus dipatuhi semua menteri akan datang yang mengambil alih pendidikan.”
SPP ditubuhkan pada 1 Januari 1974 dan mempunyai 13 anggota dilantik Yang di-Pertuan Agong.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
SPP merupakan Pihak Berkuasa Melantik (PBM) bagi anggota perkhidmatan pendidikan dalam urusan pelantikan, pengesahan dalam perkhidmatan, kemasukan ke dalam perjawatan tetap atau berpencen, kenaikan pangkat, pertukaran pelantikan/tetap perkhidmatan serta kawalan tatatertib.