Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Trump secara rasmi iktiraf Baitulmaqdis ibu negara Israel

 | December 7, 2017

Trump mungkin sedang mewujudkan satu platform untuk meminta konsesi daripada Israel nanti.

trumpWASHINGTON: Presiden Donald Trump semalam mengundur semula dasar berdekad lama Amerika Syarikat (AS) dengan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, langkah yang bakal mengancam proses keamanan Timur Tengah dan mengecewakan rakan dan musuh AS.

Trump mengumumkan pentadbirannya akan memulakan proses memindah kedutaan AS di Tel Aviv ke Baitulmaqdis, yang dijangka ambil masa bertahun. Tindakan itu tidak pernah diambil oleh presiden terdahulu untuk mengelakkan ketegangan.

Baitulmaqdis adalah kota suci bagi ramai penduduk Islam, Yahudi dan Kristian, dan statusnya menjadi cabaran terbesar dalam mencapai persetujuan damai antara Israel dan Palestin.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menyambut pengumuman Trump sebagai “peristiwa bersejarah” tetapi hubungan rapat AS dengan negara lain seperti Britain dan Perancis menjadi kritikal.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas berkata AS melepaskan peranannya sebagai orang tengah dalam inisiatif damai, dan puak sekular dan Islamis menyeru mogok dan perhimpunan diadakan pada hari ini.

Masyarakat antarabangsa tidak memperakui kedaulatan Israel ke atas seluruh bandar Baitulmaqdis kerana percaya status itu patut diselesaikan menerusi rundingan. Tiada negara lain mempunyai kedutaan mereka di Baitulmaqdis.

Keputusan Trump memenuhi janjinya pada kempen pilihan raya presiden dan akan menggembirakan pihak konservatif dan evangelis Republikan, yang menjadi sebahagian besar daripada jumlah penyokongnya.

“Saya sudah tentukan, sudah tiba masa untuk memperakui Baitulmaqdis secara rasmi sebagai ibu negara Israel,” kata Trump pada ucapannya di Rumah Putih.

“Walaupun presiden terdahulu membuat perkara ini satu janji kempen, mereka gagal melaksanakannya. Hari ini, saya melaksanakannya.”

Keputusan Trump berisiko membangkitkan ketegangan di rantau yang sudah pun bergelut dengan konflik di Syria, Iraq dan Yaman.

Bantahan tercetus di sekitar ibu negara Jordan, Amman, yang didiami oleh pelarian Palestin dan ratusan pembantah berkumpul di luar konsulat AS di Istanbul.

Israel menganggap Baitulmaqdis sebagai ibu negara mutlaknya dan mahu semua kedutaan berpangkalan di sana. Rakyat Palestin mahu Baitulmaqdis berada pada sektor timur bandar itu yang ditawan Israel dalam perang Timur Tengah pada 1967 iaitu satu langkah tidak pernah diperakui seluruh dunia.

Menurut Netanyahu, sebarang perjanjian damai dengan Palestin haruslah menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel yang mana memang tidak dipersetujui Palestin jika perjanjian itu bermaksud seluruh bandar itu dikawal sepenuhnya oleh Israel.

Keputusan Trump itu juga membangkitkan keraguan tentang kebolehan pentadbirannya untuk meneruskan inisiatif damai yang diketuai berbulan lama oleh menantu lelaki yang juga penasihat kanannya, Jared Kushner, di mana ianya disasarkan untuk mewujudkan kembali rundingan yang sudha tertangguh lama itu.

Tiada sebarang petunjuk menunjukkan Trump meminta Netanyahu apa-apa balasan apabila beliau memberitahu pemimpin Israel itu tentang keputusannya pada Selasa, menurut sumber yang mengetahui perkara itu.

Tetapi Aaron David Miller, bekas perunding Timur Tengah untuk pentadbiran Republikan dan Demokrat, berkata Trump yang berbangga menggelar dirinya sebagai perunding hebat, mungkin sedang mewujudkan satu platform untuk meminta konsesi Israel nanti.

“Ini mungkin kes di mana Trump meletakkan sedikit madu sekarang untuk menunjukkan kepada rakyat Israel beliau presiden paling berpihak pada Israel, namun selepas ini beliau akan meletakkan sedikit cuka,” katanya.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments