Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Dr M: PAS akan kalah PRU14 kerana sokong Umno ‘kafir’

 | December 8, 2017

Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, tindakan PAS berjuang bersendirian pada PRU14 akan mengurangkan undi Pakatan Harapan dan memberi kemenangan kepada BN.

mahathir_hadi_pas_new_600

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, PAS akan kalah pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kerana Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang enggan bekerjasama dengan Pakatan Harapan untuk menentang Barisan Nasional pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, Hadi kini menjadi penyokong kuat Umno yang pernah dilabelkan beliau sendiri sebagai kafir kerana mengekalkan perlembagaan penjajah, peraturan kafir dan jahiliah.

Dr Mahathir berkata, kenyataan itu terkandung dalam “Amanat Hadi”, iaitu ucapan Hadi pada 7 April 1981, ketika beliau menjadi pesuruhjaya PAS Terengganu. Petikan ucapan itu kerap dibidas Umno kerana didakwa mengkafirkan ahli parti komponen terbesar BN itu.

“Di satu masa, Hadi mendakwa Umno kafir. Bekerjasama (dengan) orang kafir menjadikan Umno kafir.

“Sekarang, sebelum menolak Amanatnya bahawa Umno kafir, Hadi menjadi penyokong kuat Umno kerana tindakan PAS bertanding dalam PRU14 akan mengurangkan undi bagi Pakatan Harapan dan memberi kemenangan kepada Najib. PAS sendiri akan kalah,” tulisnya dalam catatan blognya semalam.

Pada masa sama, Dr Mahathir yang pernah memimpin negara selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003 berkata, kenyataan Hadi menerusi amanatnya pada 1981 itu jelas merupakan hasutan untuk pengikutnya berjuang menentang pemerintahan Umno dan BN yang didakwanya kafir.

Katanya, kerajaan pimpinannya ketika itu tidak menahan Hadi atas amanatnya yang berunsur hasutan bagi mengelakkan huru-hara dan rusuhan tercetus di seluruh negara memandangkan Hadi mempunyai ramai pengikut fanatik.

Bagaimanapun, beliau sekali lagi mempertahankan polis dan menyalahkan pengikut guru agama, Ibrahim Mahmud sebagai punca 18 orang terbunuh dalam tragedi Memali pada November 1985 kerana terlalu taasub dengan “Amanat Hadi”.

“Kerajaan sanggup bertindak terhadap Ibrahim kerana tindakan terhadapnya dipercayai tidak akan mengundang reaksi sebesar tindakan terhadap Hadi. Lagipun jika dibiar, gerakan Ibrahim mungkin menjadi besar dan sukar ditangani pihak berkuasa.

“Tetapi jangkaan kerajaan meleset. Persiapan Ibrahim untuk melawan polis sudah sampai ke tahap penggunaan senjata seperti parang, buluh tajam dan senapang patah.

“Apabila polis bergerak ke arah rumah Ibrahim, mereka diserang hendap dan 4 anggota polis dibunuh dan seorang lagi cedera. Akhirnya polis menyerang balas dan 13 pengikut Ibrahim dan Ibrahim terbunuh.

“Di Memali, amat jelas sikap yang ditunjuk oleh Ibrahim dan pengikutnya dipengaruhi kepercayaan mereka berjihad mengikut ajaran dan amanat Hadi. Mereka percaya kematian mereka adalah syahid.”

Sehubungan itu, Dr Mahathir menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat Hadi atas peranannya ke atas tragedi Memali.

Pada 25 Ogos lalu, Dr Mahathir dilaporkan berkata, beliau sedia memberi keterangan jika RCI ditubuhkan bagi menyiasat tragedi 32 tahun lalu itu.

“Sekarang ini saya minta supaya saya diberi peluang untuk menjelaskan apa yang berlaku, kalau ada RCI Memali, saya harap mereka panggil (saya), bagi peluang kepada saya dedahkan apa yang berlaku.”

‘Amanat Hadi’ punca tragedi Memali berlaku, kata Dr M


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments