Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Orang Sabah akan tolak PH kerana Dr M, kata Pemuda PBS

 | December 8, 2017

Pemangku Ketua Pemuda PBS, Christopher Mandut berkata, tindakan PH menamakan Dr Mahathir sebagai perdana menteri sementara jika parti itu memenangi PRU14 baik untuk BN Sabah.

Christopher-Mandut_mahathir_sabah_600KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) meminta Pakatan Harapan (PH) negeri itu melupakan hasrat merampas kerusi di Sabah, khasnya dengan keputusan menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sementara, jika ia memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Pemangku Ketua Pemuda PBS, Christopher Mandut berkata, majoriti rakyat Sabah tanpa mengira kecenderungan politik mereka, tidak berminat untuk Dr Mahathir dilantik sebagai perdana menteri sekali lagi.

“Mahathir tidak berbuat apa-apa untuk Sabah selain mengambil hak kami ketika beliau menjadi perdana menteri selama 22 tahun. Di bawah pemerintahannya, Sabah menjadi salah sebuah negeri termiskin di negara ini.

“Apabila pemimpin PBS cuba berjuang untuk hak Sabah, usaha mereka terhalang apabila ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA),” katanya kepada FMT.

Mandut mengulas laporan media yang Dr Mahathir dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan dinamakan perdana menteri sementara dan timbalan perdana menteri, jika PH memenangi PRU14.

Katanya, “Mahathirisme” ialah perkara terburuk yang pernah dan boleh menimpa Sabah dan Sarawak lagi.

Ketua Pemuda Kota Marudu itu juga bingung dengan keputusan PH yang disifatkannya menyentuh perasaan dan sentimen rang di negeri Borneo itu.

“Mungkin pemimpin mereka di Sabah dan Sarawak gagal memaklumkan mereka. Atau lebih teruk lagi, mereka tidak sedar dengan sejarah silam dan apa yang berlaku di peringkat akar umbi ketika ini.

“Jadi, jika mereka tidak tahu perasaan pengundi, bagaimana mereka boleh kata mereka akan berjuang untuk kami dan semua perkara itu? Mereka tidak tahu apa yang pengundi sini mahu.”

Mandut turut menolak hujah pembangkang yang sesiapa sahaja boleh berubah, termasuk Dr Mahathir.

Katanya, hujah itu tidak benar kerana walaupun ketika bersama Umno, Dr Mahathir ternyata hanya berminat dengan kepentingan dirinya.

“Beliau menggunakan semua alasan untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana mahu meletak orang sendiri di tempat Najib. Beliau fikir dirinya lebih besar daripada BN dan boleh mengarahkan orang lain menurut perintahnya.

“Perselisihannya dengan Najib bersifat peribadi, tetapi beliau mengheret orang lain ke dalamnya. Beliau tidak akan berpuas hati dan sanggup memusnahkan apa yang dibinanya, selagi cita-citanya dipenuhi. Rakyat Sabah seharusnya tahu, kami merasakannya terlebih dahulu.”

Sebaliknya, beliau berkata, Najib sendiri memberi tumpuan kepada Sabah dan Sarawak.

Katanya, di bawah pentadbiran sedia ada, negeri di Borneo mengalami pembangunan pesat walaupun masih ada “terlalu banyak pembangunan perlu dilakukan” selepas 2 dekad diabaikan dan hanya dijadikan “pencetak wang” oleh Dr Mahathir.

“Pada masa sama, kita juga bernasib baik mempunyai Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman memimpin negeri ini. Bukan sahaja mampu menyatukan rakyat, beliau juga berjaya menguruskan ekonomi negeri.

“Jika Mahathir sekali lagi berkuasa, semua yang kami bina sejak 14 tahun lalu, ekonomi stabil, rakyat bersatu padu mungkin musnah,” katanya.

Bagaimanapun, Mandut berkata, cadangan PH melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri sementara sebenarnya berita baik untuk BN Sabah.

Katanya, apa yang perlu dilakukan untuk pembangkang kalah pada PRU14 ialah membiarkan Dr Mahathir bercakap bagi pihak mereka di Sabah.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments