India akan serah permohonan notis merah baru terhadap Zakir Naik
Interpol menolak permohonan sebelum ini yang dianggap ‘terlalu awal’.
Perkembangan ini selepas Interpol menolak permohonan NIA sebelum ini, mengatakan permohonan itu “terlalu awal” dan India bertindak sebelum masanya, lapor Times of India.
Notis merah digunakan untuk memaklumkan semua negara Interpol bahawa individu dalam notis itu dikehendaki berdasarkan kepada waran tangkap atau keputusan mahkamah negara yang memohon atau tribunal antarabangsa.
Notis merah itu akan mengehadkan perjalanan antarabangsa Naik.
Semasa membatalkan permohonan NIA, Interpol berkata notis merah bertujuan memudahkan sesebuah negara mendapatkan ekstradisi seseorang tertuduh untuk suatu kesalahan, bukan suspek yang sedang disiasat.
Interpol berkata tiada pendakwaan rasmi difailkan terhadap Naik. Menurut Interpol, pendakwaan rasmi merupakan keperluan asas memohon ekstradisi seseorang menurut peraturan kerajaan India.
“Di peringkat prosiding ini, pengeluaran notis merah untuk tangkapan bagi tujuan ekstradisi adalah terlalu awal,” kata suruhanjaya Interpol pada Oktober lapor Times of India.
Berikutan penolakan notis merah itu, Interpol meminta agensi polis di beberapa negara supaya mengeluarkan maklumat yang dihantar Interpol atau India berkaitan penceramah itu daripada pangkalan data mereka.
NIA bagaimanapun menjelaskan Interpol tidak menerima permohonan mengeluarkan notis merah terhadap penceramah kontroversi itu kerana agensi perisikan belum memfailkan kertas pendakwaan untuk tangkapan Naik.
Agensi sudah memohon mahkamah untuk mengeluarkan kertas pendakwaan terhadap Naik dan akan sekali lagi membuat permohonan ke Interpol.
Naik mencetuskan kontroversi di Malaysia selepas dilaporkan beliau diberi status pemastautin tetap oleh Putrajaya 5 tahun lalu.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Pihak berkuasa India menuduh penceramah kontroversi itu membiayai terorisme.