Kabinet tak dimaklum syarikat swasta kendali IMAMS, kata Zahid
Kabinet hanya dimaklumkan syarikat pengendali umrah akan didaftarkan dan pemantauan dilakukan bagi mengelak jemaah menjadi mangsa penipuan.
KUALA LUMPUR: Kabinet dimaklumkan berkenaan Sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS) namun tidak dinyatakan sistem itu akan dikendali syarikat swasta, kata timbalan perdana menteri.
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Kabinet hanya dimaklumkan syarikat pengendali umrah akan didaftarkan dan pemantauan dilakukan bagi mengelak jemaah menjadi mangsa penipuan.
“Kabinet dimaklumkan tetapi tidak melalui sistem IMAMS tapi syarikat pengendalian sistem umrah didaftarkan dan peraturan tertentu dilakukan dan pemantauan dilaksanakan agar jemaah tidak dimangsakan.
“Tapi ianya tidak langsung menyebut pelantikan mana-mana syarikat yang kendalikan sistem pemantuan ini dan gunakan sumber luar,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sistem IMAMS dibatalkan tidak sampai 24 selepas ia dilaksanakan pada Jumaat.
Pelaksanaan sistem itu akan mengakibatkan jemaah membayar tambahan RM90.10, termasuk RM5.10 untuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), RM40 bagi insurans dan RM45 bagi sistem yang digunakan IMAMS.
IMAMS merupakan akses rasmi tunggal permohonan visa umrah untuk diproses kedutaan Arab Saudi, dengan tujuan membanteras aktiviti penipuan pakej umrah.
Turut jadi perhatian ialah sistem berkenaan dikendali syarikat yang mempunyai ahli lembaga pengarah bukan Islam.
Zahid berkata, sebagai pengerusi jawatankuasa pelancongan, beliau akan memanggil mesyuarat khas bagi menentukan mekanisma yang dilakukan agensi kerajaan dan bukan syarikat swasta agar pakej umrah tidak memangsakan jemaah.
Zahid turut menafikan pembatalan IMAMS oleh kementerian pelancongan itu kerana politik.
“Saya tidak fikir adanya unsur politik dalam perkara ini tapi saya menghidu bau yang tidak enak jika ada yang mengambil peluang terutama apabila CEO yang tidak pernah mengerjakan umrah menjadi CEO.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Saya fikir kaedah ini tidak sepatutnya berlaku,” kata Zahid lagi.