
Beliau berkata semua kumpulan diberi ruang untuk menyuarakan cadangan sebelum ini.
“Mengapa baru sekarang mereka timbulkan isu ini? Mereka mahu cadangkan program apa untuk menyemai patriotisme dalam kalangan belia?” katanya kepada pemberita selepas melancarkan logo Perkasa Perwira hari ini.
Terdahulu, beliau bercakap kepada ratusan anggota tentera di Wisma Perwira. Acara hari ini sebahagian daripada program bersama anggota tentera, yang sebelum ini diadakan di Lumut, Kluang dan Butterworth.
Naib presiden Umno itu merujuk kepada Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) yang berkata PLKN sebahagiannya gagal kerana dikendalikan oleh kakitangan yang tidak berpengalaman.
Menurut Mejar (B) Ismail Jr Feisol patriotisme mengenai cinta kepada negara.
“Semua institusi ini cuba melakukan perkara berkaitan ketenteraan, tetapi mereka tiada pengalaman. NS gagal menyemai patriotisme dalam belia kita,” kata ahli Patriot itu kepada FMT di tepian satu sidang akhbar semalam.
Menjawab kenyataan itu, Hishammuddin berkata PLKN sedang menjalani transformasi sejak ia dimulakan semula selepas 10 tahun berlalu.
“Saya fikir tindakan mereka menimbulkan isu ini sekarang ialah satu kes dwistandard kerana mereka tidak berikan cadangan sebelum ini.
“Sebelum ini kami beri mereka ruang untuk memberikan cadangan tetapi tiada apa-apa,” katanya dan menambah kementerian terbuka menerima cadangan membina.
Hishammuddin percaya Patriot salah satu kumpulan yang cuba mempengaruhi pemikiran anggota tentera supaya melawan kerajaan.
“Kerajaan sudah melaksanakan pelbagai dasar untuk menambahbaik kehidupan warga tentera. Sebagai contoh, rawatan dialisis berharga RM600 seminggu tetapi diberi percuma kepada kakitangan angkatan tentera.
“Di samping itu, rumah mereka juga dinaiktaraf dan pendidikan diberi percuma kepada anak-anak dan cucu-cucu mereka,” katanya, dan menambah kementerian juga sedang melihat perbelanjaan hidup mereka.
Hishammuddin mengkritik “politik kebencian” seperti itu.
“Mana-mana orang yang mahu mengambil kesempatan ke atas keadaan sekarang akan melakukannya melalui media sosial.
“Nampaknya semakin banyak kebencian, tetapi orang juga sudah letih, seperti yang boleh dilihat di ceramah-ceramah,” katanya.