BN, PH kecam tindakan siar laporan persempadanan SPR
Wakil-wakil rakyat menggesa Pandikar Amin Mulia membuat laporan polis.
Terdahulu, laman web The Other menyiarkan capaian ke dokumen yang didakwa laporan daripda Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada hari yang sama Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia memberi amaran kepada para wakil rakyat bahawa kandungan laporan itu tidak boleh didedahkan kepada orang ramai sehingga pembentangan minggu depan.
Laman itu memuatnaik capaian yang kononnya mengandungi 3 jilid laporan itu yang dikenakan embargo sehingga 28 Mac.
FMT sedang berusaha mendapatkan reaksi Pandikar.
Ahli Parlimen Subang Sivarasa Rasiah berkata tindakan itu sama seperti menghina Parlimen.
“Ia sama seperti menghina mahkamah di mana satu laporan polis boleh dibuat,” kata peguam itu.
Beliau menjelaskan speaker boleh memulakan tindakan terhadap dokumen yang dimuat naik serta laman yang memuatnaik dokumen tersebut, sama ada dengan membuat laporan polis atau memanggil pihak terlibat ke Parlimen untuk menjelaskan tindakan itu.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin berkata speaker memberikan arahan embargo yang jelas dan arahan beliau mesti dihormati semua pihak.
Beliau menggesa Pandikar membuat laporan polis sebagai langkah pencegahan. “Polis mesti siasat perkara ini kerana ia boleh berlaku lagi.”
Dalam masa yang sama, Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh sama sekali tidak akan membiarkan peraturan dilanggar dan mahu pihak bertanggungjawab disiasat.
Ahli Parlimen Parit Buntar Datuk Mujahid Yusof Rawa berkata mana-mana orang yang diberi amanah untuk menjaga laporan itu tidak patut mendedahkannya kepada orang ramai.
Awal hari ini, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia membuat keputusan baharu untuk tidak membenarkan Ahli Parlimen membaca dan membawa pulang laporan yang mengandungi cadangan kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya, selepas mengkaji peraturan majlis mesyuarat.
Selepas pada awalnya tidak membenarkan wakil rakyat membawa pulang salinan laporan yang diletakkan di meja masing-masing hari ini, Pandikar membenarkan mereka berbuat demikian dengan syarat mereka mematuhi embargo itu.
Laporan kajian akan dibentangkan pada Rabu dan Dewan Rakyat dijangka meluluskan cadangan kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya itu minggu depan sebelum Parlimen dibubarkan untuk pilihan raya umum ke-14.
Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata jika Dewan Rakyat meluluskan cadangan itu, usul persempadanan semula akan diberi kepada Agong untuk diluluskan.
Pengkritik Barisan Nasional (BN) berkata persempadanan itu akan memberi kelebihan kepada BN.
Laman dakwa laporan persempadanan SPR bocor
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram