Aktivis dakwa FGV rancang jual saham kepada syarikat asing
Mazlan Aliman mendakwa kerajaan menjadi orang tengah dalam perbincangan FGV dan 3 syarikat asing yang berminat membeli pegangan FGV.
PETALING JAYA: Seorang aktivis Felda mendakwa Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) bercadang menjual kepentingannya kepada syarikat asing.
Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman mendakwa kerajaan menjadi orang tengah dalam perbincangan FGV dan 3 syarikat asing yang berminat membeli pegangan FGV.
“Saya dimaklumkan setakat ini ada 3 syarikat asing dari luar yang berminat. Satu daripada syarikat asing ini telah menawarkan kepentingan dalam 200,000 hektar (tanah) yang akan dinilai dan dimasukkan dalam FGV.
“Syarikat ini akan membeli kepentingan majoriti 51% dalam FGV bagi membolehkan syarikat ini menguasai kepentingan FGV, sekaligus menguasai ladang peneroka,” katanya ketika berucap dalam Jelajah Felda Pekan Ayer Mawang, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, malam tadi.
Mazlan yang juga ahli Jawatankuasa Pusat Amanah berkata, beliau mendapat maklumat itu daripada bekas pegawai kanan Felda dan sumber dalaman FGV.
“Saya tahu syarikat ini apa, siapa dia punya pengerusi, tetapi saya tidak hendak maklum malam ini. Tetapi, saya hendak beritahu ini berita benar yang disampaikan bekas pegawai kanan Felda dan maklumat sumber dalaman FGV.
“Apabila syarikat ini beli kepentingan, ini akan menjadi kali pertama dalam sejarah tragedi paling dahsyat, apabila tanah yang begitu luas akan dibeli kepentingan oleh syarikat asing,” katanya.
Mazlan yang giat memperjuangkan nasib peneroka Felda, ditahan pada 21 Mac lalu dan direman selama 5 hari kerana mendakwa isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor terlibat dalam projek penternakan ikan sturgeon oleh Felda yang menelan belanja berjuta ringgit, gagal dilaksanakan.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Beliau mendakwa seorang pegawai Felda yang pernah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia memberitahunya projek itu mendapat “restu” Datuk Seri Najib Razak, di mana Rosmah menasihatkan pegawai Felda cara melaksanakan projek terbabit.