Rafizi: Kerajaan PH tanggung RM1.4 bilion subsidi minyak
Naib presiden PKR itu berkata, kerajaan PH sudah mengembalikan 78% pendapatan tambahan yang diperolehi daripada kenaikan harga minyak mentah dunia kepada rakyat.
PETALING JAYA: Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mempertahankan usaha kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) menstabilkan harga bahan api dengan berkata, RM1.4 bilion dibelanjakan untuk subsidi petrol dan diesel sejak 10 Mei hingga kini.
Katanya, kerajaan PH menggunakan RM1.384 bilion daripada RM1.77 bilion, pendapatan tambahan yang diperolehi akibat kenaikan harga minyak mentah dunia dari 10 Mei hingga hari ini, sebagai subsidi minyak.
Beliau berkata, perbelanjaan itu bertujuan mengekalkan harga RON95 pada paras RM2.20 seliter, walaupun harga minyak mentah melambung naik.
“Dalam tempoh 67 hari sejak 10 Mei 2018, pentadbiran PH telah membuat keputusan bijak memulangkan antara 17 sen hingga 30 sen subsidi setiap liter untuk menstabilkan harga minyak.
“Maknanya, pentadbiran PH mengembalikan 78% daripada pendapatan tambahan hasil minyak kepada rakyat,” tulisnya di blognya malam tadi.
Semalam, bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dipetik Sinar Harian mendakwa kerajaan PH menipu rakyat berhubung janji mereka untuk menurunkan harga petrol kepada RM1.50.
Najib yakin janji itu tidak dapat ditunaikan PH walaupun “kucing bertanduk” muncul.
Rafizi menafikan dakwaan pengkritik yang PH gagal menurunkan harga minyak kepada RM1.50 seliter seperti dijanjikan dalam manifesto pilihan raya umum ke-14.
“PH (atau mana-mana pimpinan) tidak pernah pun menjanjikan harga turun serta-merta kepada RM1.50 seliter untuk RON95. Itu kempen PRU13. Penyokong Umno dan PAS masih mamai dengan kempen PRU13!”
Menjawab dakwaan harga petrol sepatutnya RM1.80 seliter, harga yang pernah dipetiknya, Rafizi berkata, itu adalah contoh perbandingan dibuatnya ketika harga minyak mentah dunia sekitar AS$D45 hingga AS$55 setong.
“Kerajaan boleh menurunkan harga RON95 kepada RM1.80 seliter dengan subsidi 20 sen setiap liter (kerana harga RON95 mengikut formula harga minyak mentah sebegitu adalah RM2.00 seliter).
“Harga sekarang bukan AS$55 setong. Harganya sudah mencecah AS$75 setong, maka persoalan yang sepatutnya pembangkang dari Umno dan PAS kupas ialah berapa banyak subsidi diberikan bagi setiap liter petrol dan diesel?”
Katanya, dengan menggunakan formula ditetapkan Najib dan harga minyak ditapis MOPS95 (harga rujukan dari Singapura), harga petrol RON95 akan kekal RM2.35 hingga RM2.50 seliter.
Bekas ahli Parlimen Pandan itu mendakwa kerajaan Barisan Nasional pimpinan Najib membelanjakan hampir semua RM2.2 bilion hasil tambahan daripada kenaikan harga minyak mentah dunia antara Januari hingga Mei lalu, tanpa mengembalikan wang itu kepada rakyat.
“Jika PH tidak menang pada 9 Mei yang lalu, rakyat Malaysia telah menanggung harga minyak RON95 yang naik mendadak daripada RM2.20 kepada RM2.44 (minggu ini).
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Malah, berdasarkan harga formula mingguan, antara 9 Mei hingga 18 Julai (minggu ini), jika PH tidak menang, harga minyak sepatutnya naik 6 kali dan turun 5 kali,” dakwanya.