Penganalisis: Gabungan politik baru di Sarawak bukan idea baik
Penganalisis berkata cadangan gabungan baru itu bukanlah ancaman kepada Gabungan Parti Sarawak atau Pakatan Harapan.
PETALING JAYA: Dua penganalisis politik melihat cadangan gabungan baru pembangkang di Sarawak sebagai tidak penting kepada politik di negeri itu.
Dr Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak dan Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata, mereka tidak percaya gabungan sedemikian akan menjadi ancaman sama ada kepada Pakatan Harapan (PH) maupun Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memerintah.
Mereka memberi respons terhadap laporan media tentang idea dicadangkan Setiausaha Agung Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras), Banyi Beriak, supaya partinya membentuk gabungan dengan United People’s Party (UPP), Parti Reformasi Sarawak (STAR) dan Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB).
Jeniri berkata, tidak mungkin Teras dan UPP akan berganding bahu dengan parti STAR dan PBDSB yang lebih kecil. Kalau pun ia berlaku, katanya, gabungan baru itu tidak akan mampu mencabar sama ada GPS atau PH dalam pilihan raya negeri akan datang.
“Paling kuat, ia akan memecahkan undi PH, sementara GPS boleh terus bergantung kepada sokongan terasnya.
Katanya, cabaran lebih besar kepada PH Sarawak ialah kegagalan menunaikan manifesto pilihan rayanya, seperti janji meningkatkan royalti minyak kepada Sarawak sebanyak 20%.
GPS akan bertambah kuat setiap kali PH mengingkari janjinya, kata beliau.
Jeniri mendakwa rakyat Sarawak sedia tidak berpuas hati berikutan kurangnya wakil dari negeri itu dalam Kabinet Putrajaya.
Awang Azman berkata, keempat-empat parti itu mempunyai peluang lebih baik dalam pilihan raya sekiranya mereka menyertai Barisan Nasional (BN) atau mendapatkan persetujuannya untuk menggunakan logo parti itu.
“Saya percaya majoriti pengundi luar bandar mempunyai hubungan yang kuat dengan logo BN,” katanya.
Beliau juga berkata, parti-parti dalam GPS mungkin telah bertindak terburu-buru meninggalkan BN.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Saya percaya GPS akan berasa terancam sekiranya parti-parti berkenaan mencadangkan gabungan baru itu menggunakan logo BN dalam pilihan raya negeri akan datang, dengan syarat ia meletakkan calon popular yang dilihat berkemampuan untuk mencabar GPS dan PH.”