Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

PKR mahu RCI jika Salleh tidak didakwa

 | January 31, 2012

Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin berkata kredibiliti boleh dipersoalkan kerana SPRM sehingga sekarang tidak mengenakan sebarang tindakan tegas terhadap Pengerusi NFC itu.

KUALA LUMPUR: PKR menggesa Satu Siasatan diRaja (RCI) dibuat bagi menyiasat ketelusan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengendalikan skandal Nasional Fidlot Kebangsaan (NFC).

Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin berkata kredibiliti boleh dipersoalkan kerana SPRM sehingga sekarang tidak mengenakan sebarang tindakan tegas terhadap Pengerusi NFC Datuk Seri Dr Mohammad Salleh Ismail.

Sebaliknya, ahli perniagaan Datuk Shamsubaharin Ismail dijadikan ‘kambing hitam’ apabila didakwa cuba menipu Salleh, katanya.

“Kami mahu Salleh disiasat dan dituduh dimahkamah sama seperti Shamsubaharin,” katanya selepas menyerahkan laporan kepada SPRM di Jalan Cochrane di sini pagi tadi.

Zuraida dan Ahli Parlimen Subang S Sivarasa pagi tadi menyerahkan salinan laporan polis yang dibuat Shamsubaharin 27 Januari lalu di Hospital Besar Klang.

Laporan itu diterima oleh Penolong Penguasa SPRM, Norshimah Abdul Ghani dan Ketua Unit Siasatan,  Maznah  Che Muda.

Shamsubaharin dalam laporan itu mendakwa beliau yang dilantik sebagai penasihat korporat dan perunding NFC dipaksa Salleh supaya merasuah polis dengan harapan skandal NFC dapat ditutup.

Tekanan itu diterimanya melalui beberapa panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (sms) daripada Salleh dan juga beberapa pegawai NFC yang lain.

“Ini bukan tuduhan liar. Dia (Shamsubaharin) ada bukti dan sanggup pertahankan tuduhan beliau.

Beri masa 2 minggu

“Oleh itu Salleh mesti dituduh melakukan rasuah kerana beliau dalang sebenar tapi sampai sekarang tiada apa-apa tindakan,” kata Sivarasa.

Sehubungan itu, Sivarasa dan Zuraida memberikan tempoh dua minggu bagi SPRM mengenakan tindakan terhadap Salleh sebelum menggesa penubuhan RCI.

Katanya, tindakan segera perlu diambil bagi melindungi Shamsubaharin agar kejadian sama yang menimpa Teoh Beng Hock dan Sarbaini tidak akan berulang.

“Kami akan lakukan terbaik bagi melindungi Shamsubaharin dalam skandal NFC,” tegas Zuraida.

Sebelum ini, Penasihat DAP Lim Kit Siang juga pernah mendesak agar RCI ditubuhkan bagi menyiasat penyelewengan geran RM250 juta yang diluluskan Kabinet kepada NFC.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments