Sultan, Raja dan Undang penentu mutlak pemahaman Islam di Malaysia
Kawalan pemahaman Islam dalam kalangan umat Islam berterusan bergantung kecenderungan Raja-Raja di negeri masing-masing.
Larangan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan 15 penceramah lain mengadakan ceramah dan kuliah agama di Johor mencetuskan polemik tersendiri.
Larangan oleh Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) membangkitkan persoalan dalam kalangan umat Islam di negara ini kerana tidak pernah dalam sejarah moden Malaysia, seseorang mufti dilayan sedemikian rupa.
Susulan larangan itu, Mufti Perlis bertikam lidah dengan ulama yang dikatakan tidak sealiran dengannya iaitu, Zamihan Mat Zin yang juga Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA).
Ketika dua golongan ulama ini saling melempar tuduhan sesama sendiri, tetiba Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dilihat mengambil langkah sama apabila mengeluarkan kenyataan akan mengambil tindakan ke atas kariah masjid dan surau jika menjemput penceramah tanpa kebenaran JAIPk.
Kisah yang berlaku mutakhir ini menunjukkan bahawa pergeseran antara ulama sehingga membabitkan pihak berkuasa agama bukan perkara baharu dalam Dunia Islam dan ia sentiasa berlaku, malah sudah berlarutan sejak lebih 1,000 tahun lalu.
Ini kerana ilmu teologi Islam itu berkembang sejajar dengan peredaran masa dan tafsiran demi tafsiran dibuat terhadap ayat Allah SWT dalam kitab suci al-Quran serta hadis Rasulullah SAW.
Perkembangan ilmu Islam diinisiatifkan oleh golongan ulama daripada pelbagai aliran fahaman Islam turut dibantu dengan keadaan politik semasa, yang mana bergantung kepada sikap pemerintah atau Raja terhadap golongan ulama itu sendiri.
Perkara ini berlaku di hampir semua wilayah Islam, termasuk Alam Melayu apabila Sultan atau Raja atau Penghulu (Undang) menjadi kuasa pemutus dalam perkara berkaitan Islam di wilayah kekuasaan masing-masing.
Malah, di Tanah Minangkabau pernah wujud satu perjawatan Raja yang dinamakan Raja Ibadat, khusus untuk menjaga hal ehwal agama Islam dan memantau ulama daripada pelbagai aliran fahaman atau tafsiran.
Apabila ditanya, sampai bila pemahaman umat Islam disekat, dikongkong atau dikawal? Jawapannya kawalan itu akan sentiasa ada berdasarkan kepada kecenderungan Raja-Raja terhadap sesuatu fahaman Islam itu.
Kita bagi contoh, Khalifah Al Makmun ketika zaman Dinasti Abbasiyah di Baghdad mempunyai sikap yang condong kepada aliran Muktazilah. Zaman itu, ulama Muktazilah mendapat tempat di sisi pihak berkuasa agama di Baghdad.
Begitu juga ketika zaman Kesultanan Acheh, pergeseran antara ulama Wahdatul Wujud dan Wahdatul Syuhud, di mana Sultan Acheh, Sultan Iskandar Thani cenderung kepada aliran Wahdatul Syuhud dan ulama Wahdatul Wujud diisytiharkan sesat, mengelirukan dan sebagainya.
Di Malaysia juga begitu, sikap Raja-Raja terhadap fahaman dan aliran agama Islam banyak mencorakkan pergerakan dakwah dan perkembangan ilmu oleh ulama Islam yang mempunyai banyak cabang pemikiran.
Harus diingat, hal ehwal agama Islam dan adat Melayu adalah tertakluk di bawah bidang kuasa negeri, di mana Raja-Raja adalah Ketua Agama Islam bagi negeri masing-masing. Ia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh negeri-negeri Melayu.
Mengikut undang-undang juga pentadbiran surau dan masjid adalah di bawah kuasa langsung Raja-Raja mengikut negeri masing-masing. Kuasa mengisytiharkan permulaan puasa, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha juga di bawah Raja-Raja.
Golongan ulama yang membawa pelbagai fahaman Islam bebas berpegang pada pendirian sendiri, namun untuk menyebar luas fahaman itu, mahu tak mahu wajib mendapat perkenan Raja-Raja seperti yang berlaku sejak Islam tersebar 1,400 tahun lalu.
Sementara itu, kita yang rakyat biasa ini dengan pengetahuan agama tidak seberapa hanya mengikuti dan sekadar ambil tahu sahaja akan pandangan dan buah fikiran ulama di Malaysia ini termasuk Mufti Perlis.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Setuju atau tidak dengan pemikiran ulama daripada aliran tertentu itu, kita tetap mengikut sahaja pihak berkuasa agama negeri kita sendiri kerana Raja kita yang punya kuasa menentukan fahaman kita.