Pinda OSA kerja bodoh, tak masuk akal – TI-M
Pindaan mengetatkan OSA jejaskan negara meliputi pelbagai aspek termasuk skor dan kedudukan dalam indeks persepsi rasuah antarabangsa.
KUALA LUMPUR: Transparency International-Malaysia (TI-M) membidas cadangan Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali untuk meminda Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.
Presidennya, Datuk Akhbar Satar, berkata cadangan itu boleh disifatkan sebagai kerja bodoh, tidak masuk akal dan hanya mengundang kerosakan kepada kerajaan dan negara.
“Ini kerja bodoh dan langkah ke belakang jika mahu meminda OSA dengan mengenakan hukuman lebih berat ke atas orang yang didakwa membocorkan ‘rahsia’ dan wartawan yang melaporkannya.
“Dunia menuju ke arah pembentukan masyarakat sivil yang lebih telus dan berintegriti, namun Peguam Negara mahu menjadi sebaliknya,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama FMT, di sini, hari ini.
Baru-baru ini, Mohamad Apandi dilaporkan mahu meminda OSA dengan memperkenalkan hukuman lebih berat terhadap pembocor ‘rahsia’ kerajaan dan wartawan yang melaporkannya dengan memetik sumber.
Hukuman yang dicadangkan termasuk penjara seumur hidup dan sebatan rotan sebanyak 10 kali, sekali gus mengundang reaksi pelbagai pihak.
Katanya, pindaan OSA akan menjejaskan sentimen pelabur dan kepercayaan terhadap integriti kerajaan serta menyusahkan pelaksanaan dasar negara.
“Antara yang akan terjejas ialah skor Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang akan datang, di mana perkara sebegini akan dijadikan indikator penilaian,” katanya.
Akhbar berkata, kebocoran maklumat yang diklasifikasikan sebagai rahsia boleh diatasi menerusi prosedur OSA yang ketat dan bukannya pindaan undang-undang terbabit.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Tak guna pinda undang-undang banyak mana, kalau prosedurnya tak betul. OSA sedia ada sudah baik dan keberkesanannya hanya membabitkan prosedur. Itu sahaja,” katanya.