Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Ini bukan negara polis, Nazri bertegas teruskan debat Dr M

 | March 21, 2017

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata polis tiada hak menghalang debat tersebut.

nazri-mahathir2KUALA LUMPUR: Datuk Seri Nazri Aziz hari ini membidas keputusan polis menghalang acara debat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad pada Sabtu ini, dan bertegas meneruskan hasratnya berdebat dengan bekas perdana menteri itu mengenai skandal 1MDB dan Bumiputera Malaysia Finance (BMF).

“Saya akan datang. Saya akan pergi 25hb ini, saya akan datang,” katanya.

Nazri juga mempersoalkan alasan menolak permohonan yang dibuat oleh penerbit akhbar Sinar Harian, Kumpulan Media Karangkraf, untuk menganjurkan program tersebut di Dewan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Kuala Kangsar.

“Saya tidak faham kenapa pihak polis menolak hak saya. Dia kata ada beberapa persatuan yang nyatakan mungkin tidak bersetuju.

“Sejak bila kita jadi negara polis?” soal ahli Parlimen Padang Rengas itu di lobi Parlimen hari ini.

‘Saya menteri, dia bekas PM’

Nazri yang juga menteri pelancongan dan kebudayaan berkata beliau dan Dr Mahathir mempunyai latar belakang jawatan tertinggi kerajaan dan bukan mahu mencetuskan pergaduhan.

“Ini bukan negara polis. Ini Malaysia yang amalkan demokrasi. Saya dan Tun bukan orang yang boleh menghasut untuk lakukan pergaduhan.

“Saya menteri, bukannya pembangkang yang hendak menghasut. Saya menteri, Tun bekas PM,” katanya.

Debat antara Dr Mahathir, yang merupakan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Nazri dijadualkan Sabtu ini di Padang Rengas, kawasan Parlimen Nazri.

Ia selepas Nazri menyahut cabaran Dr Mahathir untuk berdebat mengenai skandal 1MDB dan juga skandal BMF yang berlaku pada era 1980-an di bawah pentadbiran Dr Mahathir.

Sebelum ini, bekas menteri penerangan dan veteran Umno, Tan Sri Zainuddin Maidin menjangkakan debat tersebut tidak akan berlaku dan akan diarahkan batal oleh Umno atas alasan melanggar disiplin parti.

Nazri bagaimanapun nekad meneruskan debat tersebut, dan berkata akan mendapatkan campur tangan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi jika polis enggan memberi kebenaran.

Nazri memberitahu wartawan hari ini beliau memberi jaminan debat tersebut akan berjalan dengan aman.

“Saya ahli Parlimen sana (Padang Rengas) selama 22 tahun. Saya tidak fikir hendak berlaku pergaduhan,” katanya.

Polis Perak hari ini berkata permohonan penganjur untuk mengadakan debat menampilkan Nazri dan Dr Mahathir itu tidak menepati Akta Perhimpunan Aman (APA).

Menurut Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan, selain penganjur lewat menghantar borang permohonan, tempat program itu iaitu Dewan MRSM, Kuala Kangsar, juga tidak sesuai kerana di kawasan sekolah, dan melanggar APA.

Nazri bertegas acara debat itu bukan merupakan perhimpunan aman, dan berkata kebenaran pihak Mara untuk menggunakan kemudahan MRSM sudah pun diterima.

“Ini bukannya perhimpunan aman. Perhimpunan aman memerlukan 10 hari kebenaran, tempat tertentu. Tempat tertentu itu bukan satu sebab untuk halang wacana ini.

“Kalau dapat kebenaran dari pemilik tempat, walaupun ia sekolah, kalau kita dapat kebenaran, kita boleh pergi,” kata Nazri yang menyifatkan beliau “amat dukacita dan sangat terganggu” dengan keputusan polis.

MRSM tak sesuai, polis tolak permit debat Mahathir-Nazri

Bersedia debat Nazri-Mahathir dibatalkan, kata Zam


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments