Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

MRSM tak sesuai, polis tolak permit debat Mahathir-Nazri

 | March 21, 2017

Polis berkata permohonan juga dibuat petang semalam dan tidak mematuhi Akta Perhimpunan Aman.

Ketua-Polis-Perak,-Datuk-Hasnan-HassanPETALING JAYA: Polis hari ini menolak permohonan permit untuk debat antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Nazri Aziz, menurut Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan.

Bernama memetik Hasnan sebagai berkata permohonan itu ditolak kerana penganjur lewat menghantar borang permohonan, di samping tidak membenarkan ia diadakan di kawasan sekolah, iaitu Dewan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Kuala Kangsar.

“Pihak polis juga telah menerima bantahan secara bertulis iaitu sebanyak 8 laporan daripada orang awam dan penduduk di sekitar kawasan perhimpunan akan diadakan yang bimbang dengan keselamatan diri serta keluarga,” katanya.

Menurutnya, permohonan untuk permit acara debat itu diterima petang semalam daripada wakil syarikat penerbitan Kumpulan Media Karangkraf, di bawah peruntukan Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012. Bagaimanapun, ia ditolak ketua polis Kuala Kangsar.

Hasnan berkata penganjur sepatutnya memaklumkan polis daerah dalam masa 10 hari sebelum acara tersebut.

“Pihak penganjur hendaklah membuat pemberitahuan kepada pegawai yang menjaga daerah polis iaitu ketua polis daerah dalam masa 10 hari sebelum perhimpunan,” katanya.

Debat antara bekas perdana menteri dan Nazri yang merupakan ahli Majlis Tertinggi Umno itu dijadualkan pada Sabtu ini di Padang Rengas, di kawasan Parlimen Nazri.

Ia selepas Nazri menyahut cabaran Dr Mahathir untuk berdebat mengenai skandal 1MDB dan juga skandal BMF yang berlaku pada era 1980-an di bawah pentadbiran Dr Mahathir.

Sebelum ini, bekas menteri penerangan dan veteran Umno, Tan Sri Zainuddin Maidin menjangkakan debat tersebut tidak akan berlaku.

Zainuddin berkata Umno dijangka menggunakan alasan Nazri tidak mematuhi disiplin parti untuk membatalkan program itu.

Bagaimanapun, Nazri nekad meneruskan debat tersebut, dan berkata ia tidak memerlukan kebenaran parti.

Menurutnya, beliau akan mendapatkan campur tangan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi jika polis enggan memberi kebenaran.

Minggu lepas, Polis Perak memberi amaran debat tersebut adalah perhimpunan haram sekiranya tidak mendapat permit di bawah Akta Perhimpunan Aman.

“Adalah menjadi tanggungjawab pihak polis untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman penduduk setempat sentiasa berada di dalam keadaan aman dan damai.

“Pihak polis mengingatkan dan memberi amaran keras kepada orang ramai sekiranya mereka terlibat di dalam perhimpunan yang dinyatakan, tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang ada,” kata Hasnan.

 

Nazri label Zam ‘orang bodoh’, sedia jumpa TPM dapatkan permit debat


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments