Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Nasihat Zaid kepada penduduk ‘serambi Mekah’

 | July 17, 2017

Pelbagai masalah moral di Kelantan masih gagal diselesaikan kerana pemimpin PAS lebih gemar bercakap dosa dan pahala tanpa penyelesaian konkrit, kata bekas menteri itu.

Zaid-IbrahimPETALING JAYA: Ekonomi hambar, anak muda berpeleseran, pelacuran, buang bayi dan pelbagai masalah masih menghantui Kelantan tanpa sebarang penyelesaian daripada pemimpinnya melainkan cadangan hukuman berat, kata Datuk Zaid Ibrahim.

“Bercakap pasal dosa dan pahala tidak susah. Mengeluarkan hukum yang mereka tetapkan tidak susah. Mahu selesai masalah manusia dan meringankan beban mereka, itu yang susah,” kata bekas ahli Parlimen Kota Bharu itu.

Menurutnya, masalah sosial di negeri yang digelar “serambi Mekah” itu turut diakui pemimpin PAS ketika baru-baru ini mempertahankan langkah meluluskan hukuman sebat di khalayak ramai.

“Dalam masa rakyat mengalami pelbagai masaalah ekonomi dan sosial, apa yang yang diperkatakan oleh pemimpin politik Umno dan PAS ialah tentang dosa dan pahala serta hukuman sebat di khalayak ramai.

“Kononnya inilah sesuatu yang paling terdesak waktu ini,” kata Zaid kepada FMT.

Pada 12 Julai, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang antara lainnya membolehkan hukuman sebat dijalankan di khalayak ramai.

Ia juga membenarkan pegawai penguatkuasa agama menggunakan gari ke atas suspek selain penggunaan video sebagai bahan bukti dalam perbicaraan.

Langkah itu menerima sokongan beberapa pemimpin Umno.

Zaid, yang juga bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, pemimpin PAS hanya gemar mencari jalan mudah dan menyalahkan ibu bapa kerana tidak memberikan pendidikan Islam, tetapi masih belum menyelesaikan masalah itu walaupun polis sudah lama berdepan dengan pelbagai jenayah di Kelantan.

“PAS memang suka kepada penyelesaian mudah, kerana mereka selalu berkata kalau undi PAS kita semua masuk syurga.”

Zaid turut kesal dengan sokongan segelintir golongan profesional dan akademik terhadap hukuman sebat di tempat awam.

“Pihak profesional dan akademik ala-Islam ini langsung tidak peduli dan mencadangkan sesuatu yang lebih berkesan untuk mengatasi masalah manusia. Mereka lebih gemar menggunakan nama Islam dalam mempertahankan tindakan mereka, tetapi hal ehwal manusia tidak dipentingkan.

“Ini adalah kerana mereka ini pemimpin yang berpura pura,” kata Zaid.

Zaid berkata, rakyat Kelantan tiada pilihan kecuali memilih pemimpin yang betul-betul akan berusaha menyelesaikan masalah mereka.

“Carilah pemimpin yang boleh meyakinkan bank-bank yang tutup cawangan mereka di Kelantan supaya dibuka semula. Carilah pemimpin yang boleh membersihkan bandar supaya banjir kilat tidak berlaku. Carilah jalan untuk memberi latihan kepada anak muda yang tidak bekerja dan berkeliaran di pusat beli belah dan berlumba motosikal, supaya mereka ada latihan dan minat untuk berkerja.

“Inilah masanya orang Kelantan pilih pemimpin yang tidak berpura-pura,” kata Zaid.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments