Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Ahli Parlimen berjalan kaki 2km ke Bank Negara gesa siasat 1MDB

 | August 3, 2017

Mereka menyerahkan memorandum kepada gabenor mendesak siasatan terhadap 1MDB dibuka semula.

VIDEO INSIDE

pakatan_walk

KUALA LUMPUR: Lebih 40 wakil rakyat pembangkang hari ini berjalan hampir 2km dari bangunan Parlimen ke Bank Negara Malaysia bagi menyerahkan memorandum mendesak bank pusat membuka semula siasatan ke atas 1MDB.

Memorandum kepada Gabenor BNM, Datuk Seri Muhammad Ibrahim, mendesak beliau membuka semula kertas siasatan 1MDB berdasarkan penemuan bukti baharu melibatkan dana yang disalurkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“BNM perlu menyiasat perkara-perkara ini secara proaktif dan telus, dan kami bersedia memberikan sebarang kerjasama berkait isu ini sekiranya perlu, demi rakyat Malaysia dan integriti sistem kewangan negara,” menurut memorandum itu, yang disokong pimpinan kanan Pakatan Harapan (PH) dan Warisan.

Datuk Mahfuz Omar yang hadir hari ini merupakan satu-satunya ahli Parlimen PAS yang turut menyokong memorandum tersebut.

Antara lain, ia meminta BNM menyiasat kesahihan pelaburan “unit” bernilai AS$2.3 bilion yang sebelum ini disimpan di dalam akaun Bank BSI, Singapura sebagai bank pemegang amanah.

1MDB baru-baru ini berkata ia gagal menebus balik pelaburan itu, menyebabkan ia tidak dapat memenuhi jadual pembayaran balik hutang kepada syarikat kerajaan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Corporation (IPIC), Isnin lalu.

“Kami percaya bahawa kegagalan 1MDB untuk menebus pelaburan ‘unit’ tersebut untuk membayar hutang kepada syarikat kerajaan Abu Dhabi, IPIC telah menjejaskan integriti sistem kewangan Malaysia,” kata memorandum itu.

Perarakan itu diketuai Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan disertai hampir semua pimpinan tertinggi PH.

Antara mereka termasuk Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Khalid Samad, Nurul Izzah Anwar dan Darell Leiking.

Mereka mula berjalan dari pintu masuk Parlimen kira-kita jam 9 pagi dan tiba di bangunan Bank Negara Malaysia jam 9.35 pagi.

Mereka turut membawa kain rentang PH dan poster yang dipotong menyerupai bentuk berlian.

pakatan_walk2Setiba di BNM, 10 orang wakil dibenarkan masuk untuk menyerahkan memorandum kepada gabenor.

Bagaimanapun, mereka diberitahu Muhammad sedang sibuk, dan memorandum tersebut diserahkan kepada wakil BNM, Mazlan Ariffin.

BNM terlibat dalam pasukan penyiasat khas ditubuhkan pada 2015 untuk menyiasat 1MDB, susulan pendedahan RM2.6 bilion dimasukkan ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak.

Ia turut dianggotai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan Pejabat Peguam Negara.

Bagaimanapun, siasatan terhenti selepas Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali menggantikan Tan Sri Abdul Gani Patail.

Apandi kemudiannya mengumumkan tidak ada salah laku ditemui dalam siasatan terhadap 1MDB.

Sebelum ini cadangan pembangkang untuk mengadakan sidang tergempar Parlimen bagi membincangkan tindakan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat bagi mendapatkan semula aset yang didakwa diseleweng daripada 1MDB ditolak.

pakatan_walk3Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata ia kerana isu itu adalah kesinambungan saman sivil yang lama dan perkara itu pernah dijawab dalam persidangan Dewan Rakyat yang lepas.

Baru-baru ini, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak soalan berkaitan 1MDB pada sesi Dewan Rakyat kali ini, dan antara alasan diberikan ialah faktor subjudis.

Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata keputusan penolakan itu dibuat Pandikar dan muktamad mengikut Peraturan Mesyuarat 99.

Keputusan itu mengundang pelbagai respons dan kritikan, termasuk tindakan mengheret Pandikar ke mahkamah oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian, semalam.

Keputusan Speaker tolak soalan 1MDB muktamad

Tolak soalan 1MDB, wakil rakyat PKR heret Pandikar ke mahkamah


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments