Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Marina kecam pengecut buat kecoh, cuba ancam Dr M

 | August 13, 2017

Marina Mahathir mengecam pengecut cuba mengancam keselamatan ibu bapanya, manakala Zainuddin Maidin bimbang jika PRU14 boleh diadakan secara aman selepas kekecohan hari ini.

marina-2

PETALING JAYA: Marina Mahathir menyifatkan kekecohan tercetus pada forum Nothing to Hide 2.0 ialah perbuatan pengecut mahu mengancam nyawa ibu bapanya yang berusia lebih 90 tahun.

“Hanya pengecut yang akan melakukannya.

“Pengecut jenis apakah yang akan mencetuskan kekecohan dan membahayakan satu pasangan berusia 90 tahun?” tulis anak sulung Tun Dr Mahathir Mohamad di Twitternya dengan hashtag #thugsandhooligans (samseng).

Kekecohan tercetus pada forum Nothing to Hide 2.0 sekitar 5.30 petang tadi, kira-kira 2 jam selepas program itu dimulakan di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor, Shah Alam.

Ia berlaku ketika Dr Mahathir menjawab soalan hadirin mengenai tragedi Memali di Baling, Kedah pada September 1985, semasa beliau menjadi perdana menteri.

Sekumpulan peserta yang tidak berpuas hati dengan penjelasan beliau tiba-tiba membaling kasut dan disusuli suar, kerusi dan botol air ke arah pentas di mana Dr Mahathir berdiri ketika itu.

Dewan Raja Muda Musa kemudiannya dipenuhi asap dan insiden tumbuk-menumbuk dikatakan berlaku ketika ahli PPBM meluru ke pentas untuk melindungi bekas perdana menteri berusia 92 tahun itu. Dr Mahathir tidak cedera.

Suasana itu mencetuskan panik di kalangan pemimpin dan peserta forum itu, menyebabkan mereka cuba menyelamatkan diri dan berlaku pergelutan di kalangan penyokong Dr Mahathir dan peserta yang tidak berpuas hati.

Sementara itu, bekas menteri Umno, Tan Sri Zainuddin Maidin menyuarakan kebimbangan jika pilihan raya umum ke-14 (PRU14) boleh diadakan secara aman ekoran kekecohan yang tercetus pada forum anjuran Pemuda PPBM petang ini.

“Kali ini, kekecohan bukan lagi antara kaum berbeza, tetapi ia berlaku dalam kalangan kaum sama. Melayu dengan Melayu,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau berkata, ada 2 kemungkinan yang timbul iaitu Umno akan dipersalahkan dan mungkin ada pihak yang sengaja mensabotaj untuk memburukkan Umno.

“Bila perkara begini berlaku, tidak boleh dinafikan pihak yang akan disalahkan adalah Umno. Tetapi, kita juga tidak boleh nafi yang mungkin ini adalah sabotage untuk memburukkan Umno.”

Bekas menteri penerangan itu berkata, keselamatan Dr Mahathir menjadi keutamaan sekarang kerana beliau bukan lagi perdana menteri.

“Walaupun beliau mempunyai seangkatan penyokong, tetapi keselamatan ketika beliau menjadi perdana menteri berbeza dengan sekarang.

“Tetapi, kebimbangan utama saya ialah PRU14 akan datang kerana jika perkara begini boleh berlaku sekarang, ia tidak menolak kemungkinan ia boleh berlaku pada pilihan raya nanti.”

Nothing to Hide 2.0: Bom asap dibaling, forum Dr M ‘diserang’


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments