Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

TMJ bidas ‘cybertroopers’ Umno, selar Melayu ‘busuk hati’

 | August 18, 2017

Presiden FAM berkata ketiadaannya bagi menunjukkan sokongan kepada skuad bola sepak Sukan SEA tidak perlu dijadikan isu oleh mereka yang 'busuk hati'.

TMJPETALING JAYA: Tuanku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini membidas Pemuda Umno kerana menggunakan “cybertroopers” untuk mempersoalkan ketiadaannya sewaktu 2 perlawanan bola sepak Kumpulan A Sukan SEA baru-baru ini yang menyaksikan kemenangan Malaysia menewaskan Brunei dan Singapura.

“Kepada En. Ibdillah, tidak perlulah sibuk-sibuk dengan ‘cybertroopers’ awak untuk menghentam-hentam saya dan menjulang ‘bos’ awak,” tulis TMJ di Facebook hari ini, dipercayai merujuk kepada Ibdillah Ishak, ahli exco Pemuda Umno yang mempengerusikan Biro Media Sosial sayap itu.

TMJ yang juga presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini pernah mengkritik Menteri Kebudayaan dan Sukan Khairy Jamaluddin kerana tidak menghadiri perlawanan akhir Piala FA di Shah Alam Mei lepas.

Khairy, yang juga ketua Pemuda Umno, baru-baru ini turut menjadi sasaran TMJ yang menyindir kebolehannya dalam skuad polo negara Sukan SEA.

“Tiada sesiapa yang nak jatuhkan ‘bos’ awak,” kata TMJ kepada Ibdillah dalam catatannya hari ini.

“Awak perlu ingat sokongan terbesar parti politik awak datangnya dari negeri Johor.”

Walaupun tidak menyebut Khairy secara khusus, TMJ berkata beliau tidak boleh dibandingkan dengan ahli politik seperti menteri sukan itu.

Menurutnya, tidak seperti sesetengah orang yang “hanya tunjukkan muka di stadium”, beliau tidak mempunyai kepentingan politik.

“Saya bukan orang yang ingin menjadi popular tetapi ghaib apabila bola sepak negara memerlukan sumbangan,” kata TMJ, sambil menyentuh dana RM4 juta yang diberikan Sultan Johor, Sultan Ibrahim kepada FAM untuk membantu struktur skuad kebangsaan dan liga tempatan.

Menurutnya, beliau tidak berniat mengungkit sumbangan ayahnya.

Sebaliknya, TMJ berkata beliau bukan ahli politik yang cuba meraih populariti, sambil mempersoalkan sumbangan pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ketika FAM bergelut dengan masalah kewangan.

“Saya tidak salahkan pihak KBS yang tidak berikan duit kepada FAM. Maklumlah, isu duit berjumlah RM100 juta duit rakyat pun tidak dijawab lagi macam mana mereka nak bagi duit kepada kami,” tambahnya merujuk seorang pegawai kanan kementerian itu yang disyaki terlibat dalam penyelewengan dana RM100 juta tahun lalu.

TMJ turut membidas sikap “busuk hati” sesetengah orang Melayu yang menurutnya lebih banyak menghina raja-raja Melayu “jika dibandingkan dengan India atau Cina”.

“Tetapi apabila susah dan tersempit dengan ahli politik barulah bangsa Melayu ini mencari raja-raja mereka,” kata TMJ dalam kenyataan dimuat naik di Facebook hari ini.

Mengenai ketiadaannya ketika pasukan Malaysia menentang Brunei dan Singapura baru-baru ini, TMJ berkata ia kerana beliau bercuti di luar negara.

“Dari awal tahun hingga sekarang, saya belum bercuti lagi bersama keluarga saya wahai encik-encik yang saya hormati sekalian. Tetapi usah risau, kerana saya sudah menghantar wakil saya iaitu Menteri Belia Sukan yang bersemangat berkhidmat untuk negara dah datang memberi sokongan,” katanya.

 


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments