Bukan cerita rekaan, kata KPN selepas tangkapan suspek bom pesta bir
Penggeledahan menemui bahan penghasilan IED termasuk lakaran dan formula bahan letupan, kata ketua polis negara.
Fuzi berkata siasatan ke atas suepek mengesahkan cubaan untuk menyerang pesta tersebut menggunakan alat letupan reka ganti (IED).
“Kita nafikan dakwaan kita reka maklumat palsu untuk takutkan penganjuran festival bir,” kata Fuzi pada sidang media di Bukit Aman hari ini.
Tiga suspek, seorang pesara tentera darat, 34, seorang kontraktor binaan, 24, dan seorang pelajar Tingkatan 6, 19, ditangkap polis pada 10 Oktober lepas di Kelantan.
Menurut Fuzi, mereka juga menyasarkan beberapa pusat hiburan dan rumah ibadat penganut bukan Islam di sekitar Lembah Klang.
Fuzi berkata, penggeledahan rumah suspek menemui bahan penghasilan IED termasuk lakaran dan formula bahan letupan. Hasil siasatan juga mendapati semua suspek berjaya menjalankan ujian meletupkan IED pada 28 September lalu. IED itu katanya mempunyai impak kekuatan letupan 30 meter radius.
“Ini penemuan kita buat selepas penggeledahan…Ia akan akibatkan kematian serius jika diletupkan dalam pesta bir,” kata Fuzi.
Fuzi turut berkata, suspek kontraktor binaan itu mempunyai hubungan dengan kumpulan menyerang kelab malam Movida di Puchong, Selangor pada 28 Jun 2016.
“Dia juga ada kaitan dengan militan Muhammad Wandy dan Akhil Zainal di Syria,” katanya.
Fuzi berkata, tangkapan berkenaan menjadikan 9 kes cubaan meletupkan IED berjaya dipatahkan oleh pihak polis sejak 2013.
“Sejak 2013, 8 cubaan letupkan IED. Ini kali ke 9 dan 78 orang juga berjaya ditangkap sejak Januari lalu mempunyai elemen IS di negara ini.”
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Pihak polis juga katanya akan berbincang dengan Kementerian Pelajaran untuk membolehkan suspek berusia 19 tahun itu menjalani peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang dijadualkan 6 November depan.