Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Panchayat: Bahagian 10 – Atma

 | July 9, 2011

Malliga mahu segera melangkah pergi melihat Raja. Tetapi tubuhnya terasa teramat lemah untuk bergerak.

“Hmm …,” kata bapa lagi. “Hal itu kita bincangkan kemudian. Bagaimana persediaan bagi menguruskan pengebumian? Sudah dimandikan jenazah si mati?”

Serta-merta dada saya terasa sebak. Raja Attan sudah tiada! Sebentar lagi jenazahnya akan dibawa ke tanah perkuburan. Mayatnya akan dibakar sehingga menjadi abu. Raja Attan sudah tiada!

“Mana para penduduk?”

“Ramai yang tak datang, tuan.”

“Tak datang? Kenapa?”

“Mereka … mereka tak mahu menghadiri upacara pengebumian orang yang mencuri berhala Kaali Devi.”

Saya cuba memandang Rengasamy yang berkata begitu. Samar-samar kelihatan kepalanya yang tertunduk. Samar-samar sahaja kerana mata saya semakin ditenggelami air mata.

Beginikah nasib yang diterima oleh Raja Attan? Sudah lupakah para penduduk, siapa Raja Attan; siapa Puan Janaki? Lupakah mereka tentang jasa mereka tiga beranak selama ini?

Saya mahu segera melangkah pergi melihat Raja Attan. Tapi tubuh saya terasa teramat lemah untuk bergerak walau seinci. Saya membiarkan sahaja tubuh saya tersandar pada tubuh emak.

Sudah lupakah para penduduk Kubur Gajah siapa yang sedang mereka pulaukan?

Puan Janaki menganggap seluruh penduduk Kubur Gajah sebagai ahli keluarganya. Bagi beliau, batas kaum dan agama tidak wujud. Kaum dan agama memang wujud, tapi tidak harus wujud batas di antaranya.

Puan Janaki sedia membantu semua orang setakat yang termampu tanpa mengira warna kulit. Beliau tidak berupaya membidankan ibu-ibu yang sakit melahirkan anak. Beliau tidak memiliki kepakaran itu. Tapi beliau sanggup membantu apa yang termampu olehnya.

“Kami melakukan semua ini dengan menganggap anda semua sebagai ahli keluarga kami,” kata mendiang Puan Janaki jika ada orang menghulurkan bayaran bagi perkhidmatan yang diberikan. “Tolonglah jangan putuskan persaudaraan murni ini dengan memberikan kami wang sebagai bayaran.”

Apabila kuil Maha Kaali dibaik pulih dahulu, keluarga mendiang Puan Janakilah yang banyak membantu. Walaupun mereka tidak mampu menghulurkan wang, mereka menghulurkan tenaga.

Nama baik tercemar

Malah begitu juga semasa gereja di Lubok Buntan menganjurkan kutipan derma bagi membiaya kos membaik pulih bangunan yang runtuh. Atau semasa jawatankuasa surau di Selama mengutip derma kilat bagi mangsa banjir.

Raja Attan, Ramani, Roslan Jomel, Neo Peng Soon, Kavitha, Viveka, Barathi, Daniel serta Revathi dan saya sendiri adalah antara belia yang paling kerap terlibat dalam hal-hal kebajikan seumpama itu.

Dan kini, nama baik itu dicemar dengan tuduhan yang bukan-bukan. Semua ini angkara Sitambaram. Saya tahu. Tapi untuk apa lelaki itu perlu memusuhi Raja Attan? Raja Attan tidak pernah masuk campur dalam urusannya. Lalu, mengapa?

Sejak panchayat memutuskan Raja Attan sebagai pencuri semalam, hidup saya sudah tidak tenteram. Bapa pula tidak mahu berunding tentang hal itu di rumah. Katanya, urusan panchayat tidak boleh dibincangkan di rumah.

Namun begitu, saya telah cuba mengawal hati saya kerana saya begitu yakin bahawa Raja Attan tidak bersalah. Saya telah benar-benar pasti bahawa Raja Attan akan datang untuk membersihkan nama baik keluarganya yang cuba dicemarkan oleh Sitambaram dan rakan-rakannya. Saya telah benar-benar pasti.

Tapi kini siapa yang akan membersihkan nama Raja Attan?

Raja Attan sudah tiada. Raja Attan sudah tiada. Raja Attan sudah tiada. Suara hati itu terus bergema dalam fikiran saya. Saya cuba menafikannya. Tapi bukankah menafikan kematian bermakna kita menafikan kuasa Tuhan? Bukankah Tuhan memiliki kuasa mutlak ke atas hidup hamba-Nya.

Raja Attan sudah tiada. Suara itu bergema lagi. Saya cuba berlari masuk ke dalam rumah untuk menatap sendiri wajah Abang Raja. Tapi saya rasakan tubuh saya terlalu penat dan sudah tidak bermaya. Saya rasakan diri saya jatuh dari pegangan emak. – Bersambung esok

Turut baca:

Bahagian terdahulu

Uthaya Sankar SB boleh dihubungi menerusi e-mel [email protected] untuk sebarang komen bagi ‘memurnikan’ novel ‘Panchayat: Edisi Khas’ dari aspek kesilapan bahasa, kesalahan fakta dan perkara yang mungkin menyentuh sensitiviti kaum sepanjang ia disiarkan secara bersiri di FMT.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments