Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Panchayat: Bahagian 19 – Mundani

 | August 7, 2011

Mayat James Arivalahan ditemui benar-benar di sempadan Kubur Gajah dan Selama.

FEATURE

Revathi tidak segera membidas pendapat Malliga. Dia membiarkan gadis bersari putih itu duduk semula di bangku kayu setelah terus mengibar-ngibarkan hujung sarinya.

“Hidup akka belum berakhir,” kata gadis berpavade itu setelah mengumpulkan tenaga bagi menahan kehibaan di hati melihat nasib yang menimpa Malliga. “Akka terlalu muda untuk memakai sari putih.”

Malliga tidak mengendahkan kata-kata Revathi yang lebih merupakan sebuah rayuan. Baginya, dia adalah sebagaimana yang dia ada sekarang. Dia tidak menganggap dirinya terlalu muda untuk berpakaian sari putih.

Cuma dirasakannya apa yang menimpa diri Raja adalah tidak wajar. Tidak adil. Jika Raja masih ada, tentu dia tidak akan berpakaian sari putih seperti sekarang.

Jika Raja ada, tentu dia akan berusaha untuk membuktikan bahawa dirinya tidak terlibat dalam peristiwa kehilangan berhala emas Kaali Devi dari kuil Maha Kaali.

Menyedari bahawa Malliga memang tidak mahu dilarang memakai sari putih, Revathi berusaha menukar topik perbualan. Jika boleh, dia memang mahu berusaha memujuk Malliga agar kembali memakai pakaian berwarna-warni seperti yang masih dipakainya tiga hari yang lalu.

Akan tetapi, Revathi akur juga pada pilihan Malliga. Kalaulah ditakdirkan bahawa Ramani juga pergi, Revathi sendiri tentu bertindak seperti mana tindakan Malliga sekarang. Itu pasti.

Entahlah jika tindakan ini dianggap keterlaluan, fikir Revathi. Tapi aku faham dan sedar betapa Malliga Akka mencintai Raja Mama.

Revathi cuba mengalihkan fikirannya daripada memikirkan semua itu. Malliga dilihatnya sudah kembali berdiri sambil membiarkan mundani sari dimainkan angin. Revathi membiarkannya begitu sahaja.

Sementara itu, Revathi sendiri mula termenung memikirkan misteri tindakan Madurai Kaala.

Semalam, James Arivalahan membawa Madurai Kaala ke pertandingan laga lembu mingguan di Selama. Pada sebelah petang, sewaktu panchayat sedang bersidang, Madurai Kaala dikatakan datang berlari pulang. Tanduknya berlumuran darah. Lembu itu terus berlari masuk ke kuil Maha Kaali. Para penduduk tergamam.

Kemudian, beberapa orang kampung pergi mencari James yang tidak pulang-pulang. Kubur Gajah gempar dengan berita penemuan mayat James di sempadan kampung. Mayatnya, menurut Gopu, ditemui benar-benar di sempadan Kubur Gajah dan Selama. Terdapat bekas tanda tandukan di belakangnya. Mayatnya ditemui dalam keadaan yang mengerikan.

Lalu panchayat bersidang semula pagi tadi sesudah mayat si mati disempurnakan mengikut adat.

“Apa yang harus kita lakukan dengan Madurai Kaala? Nampaknya dia sudah bertambah bengis; sehingga membunuh tuannya sendiri,” kata Sitambaram yang sedih atas kehilangan salah seorang rakan karib.

“Kita tidak harus menyalahkan binatang yang malang itu,” Senthamarei pula berkata sambil memandang para penduduk yang kelihatan lesu. “Kita semua tahu betapa James suka menyeksa lembunya atas alasan mahu menjadikannya lembu pelaga. Saya percaya anda semua tahu apa yang saya maksudkan.”

Biarkan di kuil

Orang ramai kelihatan bercakap sesama sendiri sambil mengangguk-angguk. Tapi masih ada juga wajah-wajah yang kelihatan cemas. Mungkin mereka masih takut memikirkan kemungkinan Madurai Kaala akan mengamuk semula pada bila-bila masa.

“Bagaimana dengan Madurai Kaala yang masuk ke kuil? Masakan kita mahu membiarkannya di situ sahaja!” Salah seorang daripada penduduk yang berwajah cemas tadi meluahkan kebimbangan dalam hati.

“Benar kata saudara.” Senthamarei menoleh ke arah si ayyer yang selalu membuat pooja di kuil. “Adakah lembu itu menimbulkan apa-apa masalah sejak petang semalam?”

“Tak ada, sami. Lembu itu tidak mengganggu sesiapa pun. Madurai Kaala hanya berkeliaran di keliling kuil … seperti seekor anjing mengawal rumah tuannya.”

“Hm, begitu?” Ketua kampung bertanya dengan sedikit rasa hairan, tertarik dan takjub.

“Benar kata-kata si ayyer,” sampuk Rengasamy. “Madurai Kaala tidak mengganggu orang ramai yang berulang alik ke kuil dan melakukan ibadat di sana. Malah, lembu itu tidak kelihatan bengis langsung.”

“Cuma, apabila beberapa pemuda cuba menghalaunya keluar dari kuil pagi tadi, lembu itu menampakkan wajah cengil dan bengis. Pada waktu-waktu lain, Madurai Kaala kelihatan jinak. Pun begitu, tentulah kami tidak berani menghampirinya,” sambung Ganesan.

Beberapa orang penduduk yang menyetujui pendapat Rengasamy dan Ganesan kelihatan mengangguk. Kemudian, seluruh penduduk kampung menantikan keputusan panchayat. Bagi mereka, keputusan panchayat adalah keputusan muktamad. Apa pun keputusan ketua kampung, itulah keputusan mereka.

Dalam hal Madurai Kaala, penduduk Kubur Gajah membiarkan ketua kampung membuat keputusan yang terbaik. Sudah menjadi tabiat, malah amalan tradisi mereka, untuk menerima sahaja keputusan panchayat tanpa bantahan; walaupun mungkin ada sedikit rungutan dan keluhan tanda bantahan secara senyap.

“Kalau begitu, kita akan membiarkan sahaja Madurai Kaala tinggal di kuil Maha Kaali. Lagi pun, tentu tiada siapa pun yang sanggup membawanya pulang!”

Orang ramai mengangguk lagi. Entah kerana benar-benar bersetuju dengan keputusan panchayat atau kerana tidak sanggup melawan keputusan Senthamarei selaku ketua kampung dan ketua panchayat. Tidak dapat dipastikan kerana hendak dikatakan semua orang bersetuju, masih ada beberapa penduduk yang merungut sendirian sambil mengangguk.

“Madurai Kaala hanya membalas kekejaman tuannya. Saya sendiri banyak kali menasihati James supaya menghentikan tabiat menyeksa lembunya. Tapi nasihat saya – mahupun nasihat sesiapa antara kita – tidak pernah dia terima. Jadi, dia menerima balasan daripada lembu yang teraniaya itu sendiri.”

Penduduk Kubur Gajah yang berkumpul di tapak panchayat mengiakan kata-kata ketua panchayat. – Bersambung minggu depan

Bahagian terdahulu

Uthaya Sankar SB boleh dihubungi menerusi e-mel [email protected] untuk sebarang komen bagi ‘memurnikan’ novel ‘Panchayat: Edisi Khas’ dari aspek kesilapan bahasa, kesalahan fakta dan perkara yang mungkin menyentuh sensitiviti kaum sepanjang ia disiarkan secara bersiri di FMT


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments