Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Panchayat: Bahagian 33 – Mulastanam

 | September 25, 2011

Mata Madurai Kaala digenangi air jernih yang sukar dimengerti punca penyebabnya.

FEATURE

Sampai di pintu masuk perkarangan kuil Maha Kaali, dia berhenti. Pandangannya ditebar ke seluruh halaman kuil; sejauh yang terjangkau oleh mata. Setelah puas diperhatikan, barulah pemuda itu melangkah masuk; mendahulukan kaki kanan.

Suasana senyap. Orang ramai tentu sudah awal-awal lagi pulang setelah menyertai upacara pooja pagi. Si ayyer pun tentu telah pulang ke rumahnya yang terletak tidak jauh dari kuil.

Maka, dia benar-benar yakin bahawa dia sendirian di kuil pada waktu itu. Pun begitu, dia masih sentiasa berhati-hati dalam setiap langkah yang diambil.

Dia tidak terus masuk ke dalam kuil. Mungkin juga kerana dia sudah sedia maklum bahawa berhala emas Kaali Devi sudah tiada di kuil berkenaan.

Dia berjalan ke bahagian belakang bangunan kuil. Di situ berdiri seekor lembu jantan berponok besar. Tanduknya tajam dan meruncing. Helaan nafas binatang itu jelas kedengaran. Lembu berkenaan sedang meragut rumput yang tumbuh meliar di tepi pagar.

Pemuda berambut keriting semakin menghampirinya. Dia bagaikan terlupa personaliti Madurai Kaala. Lembu pelaga itu adalah juara di arena pertarungan. Setiap orang menggeruninya. Tetapi pemuda berkulit sawo matang ini pula begitu berani menghampirinya walaupun lembu jantan itu tidak  ditambat.

Madurai Kaala mengangkat kepala sewaktu pemuda itu berdiri lebih kurang dua ela darinya. Madurai Kaala menghentikan kunyahan. Matanya memandang tajam ke arah manusia di hadapannya sambil ekornya masih sesekala dikibas bagi menghalau lalat yang hinggap pada badan.

Lembu pelaga berkenaan mengangkat kepala dan menunduk berulang kali; bagaikan mengangguk. Matanya yang bulat, besar dan hitam pula terus terpaku pada wajah pemuda di hadapannya. Helaan nafas semakin kencang.

Perlahan-lahan, lembu pelaga yang terkenal garang itu berjalan menghampiri si pemuda. Pemuda itu pula tidak berganjak dari tempat dia berdiri. Dia memandang sahaja ke arah lembu jantan berbonggol tujuh inci yang sedang melangkah perlahan-lahan menuju ke arahnya.

Apabila lembu pelaga yang dipercayai membunuh tuannya beberapa hari yang lalu sampai di sisi, pemuda berkenaan membelai dahinya. Aneh sekali, lembu itu membiarkan sahaja manusia berkenaan membelainya. Selama ini, tidak ada sesiapa pun yang berjaya menghampiri lembu pelaga itu; apatah lagi untuk membelainya!

Madurai Kaala merenung mata pemuda berambut keriting. Pemuda itu juga sedang membalas pandangan. Mata kedua-dua mereka digenangi air jernih yang sukar dimengerti punca penyebabnya.

Buat apa nak takut?

“Wah! Berani sungguh pak cik.”

Pemuda dan lembu jantan itu sama-sama terkejut mendengar suara berkenaan. Mereka sama-sama menoleh ke arah kuil. Sambil itu, si pemuda mengesat air mata.

Seorang kanak-kanak sedang berdiri di sisi tiang kuil. Menyedari bahawa dirinya diperhati, kanak-kanak itu mengukir senyuman. Tapi segera pula dia menelan air liur apabila menyedari bahawa Madurai Kaala juga sedang merenungnya.

“Sejak bila awak berdiri di sini?” Tanya pemuda itu dengan sedikit perasaan was-was.

“Baru saja. Semasa Madurai Kaala menghampiri pak cik.”

Pemuda yang berdiri di sisi lembu berbonggol tujuh inci itu menghela nafas lega. Dia dan lembu itu saling berpandangan bagaikan mereka berdua sebenarnya boleh saling berkomunikasi tanpa perlu bersuara.

“Awak buat apa di sini?”

“Saja, … datang bermain.”

“Mana bapa awak?”

“Bapa dah pulang selepas melakukan pooja pagi tadi. Sekejap lagi dia akan datang untuk membersihkan kuil,” jawab anak ayyer dengan petah.

“Hm. Awak berani bermain seorang diri di sini, ya. Awak tak takut pada Madurai Kaala?”

“Buat apa nak takut, pak cik?” Pantas kanak-kanak yang petah lidah itu menjawab. “Bapa saya kata, lembu ini langsung tak mencederakan sesiapa yang datang ke kuil Maha Kaali. Jadi, saya pun tak takutlah.”

Pemuda berkenaan tersenyum. Lalu dia berjalan menghampiri kanak-kanak tersebut. Madurai Kaala pula terus berdiri di tempat tadi sambil mula meragut rumput dan mengunyah perlahan-lahan, sedang ekornya terus dikibas bagi menghalau lalat. – Bersambung minggu depan

Bahagian terdahulu

Uthaya Sankar SB boleh dihubungi menerusi e-mel [email protected] untuk sebarang komen bagi ‘memurnikan’ novel ‘Panchayat: Edisi Khas’ dari aspek kesilapan bahasa, kesalahan fakta dan perkara yang mungkin menyentuh sensitiviti kaum sepanjang ia disiarkan secara bersiri di FMT.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments