Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Panchayat: Bahagian 35 – Mulastanam

 | October 2, 2011

Kanak-kanak itu percaya bahawa Madurai Kaala membunuh James.

FEATURE

“Saya pun nak jadi macam kura-kura. Nanti tak perlulah saya takut pada sesiapa,” budak berkenaan mengakhiri cerita.

“Kalau macam itu, sekarang awak berani tak pergi dekat Madurai Kaala?” Tanya pemuda berbaju hijau itu sambil duduk di sisi kanak-kanak yang terus tersenyum.

“Eh! Tak berani. Mana tau kalau Madurai Kaala tiba-tiba menanduk saya. Eee … saya tak berani!”

“Ha, tadi mengaku berani.” Pemuda itu ketawa kecil. “Sekarang dah tak berani pula?”

Budak lelaki itu melutut di sisi kiri si pemuda.

“Pak cik tau tak?” Bisiknya ke telinga si pemuda. “Kawan saya kata, lembu itu yang membunuh James Taata hari itu.”

“Ya?”

“Hm. Tapi kawan saya juga kata, bukan lembu itu sendiri yang membunuh lelaki itu. …”

Senyuman di bibir si pemuda mati. Kening berkerut. Ditenungnya kanak-kanak berusia sepuluh tahun itu dengan mata tidak berkelip.

“Kawan saya kata, roh Pak Cik Raja telah masuk ke dalam badan Madurai Kaala. Sebab itulah Madurai Kaala membunuh James Taata. Sebenarnya roh Pak Cik Raja yang sedang membalas dendam. Kawan saya yang kata begitu.”

Si pemuda termenung jauh mendengar kata-kata itu.

“Kalau pak cik tak percaya,” sambung budak itu, “cuba pak cik fikir sendiri. Dulu, sesiapa pun tak boleh mendekati Madurai Kaala. Tapi sekarang, lembu itu tidak mengganggu sesiapa pun yang datang ke kuil. Madurai Kaala juga tidak berbuat apa-apa apabila pak cik menghampirinya. Semua ini adalah kerana roh Pak Cik Raja di dalam badan Madurai Kaala kenal bahawa pak cik adalah kembarnya.”

Pemuda berbaju hijau tidak memberikan sebarang reaksi. Dia memandang Madurai Kaala yang masih berdiri di tempat tadi. Lembu itu sudah menghentikan kunyahan dan sedang membalas pandangan pemuda berkenaan.

Sewaktu mata mereka bertemu, angin tiba-tiba bertiup kencang; menerbangkan beberapa helai kertas yang bertaburan di halaman kuil Maha Kaali.

“Tak mungkin,” bisik si pemuda sendirian sambil terus merenung lembu berbonggol tujuh inci itu. “Tak mungkin!”

“Kenapa pula tak mungkin, pak cik?” Tanya budak lelaki itu apabila dia terdengar bisikan tersebut. “Saya pernah baca dalam buku cerita tentang seorang maharaja bernama Vikramaditya yang boleh memindahkan rohnya ke dalam tubuh haiwan lain. Jadi, tidak mustahil roh abang pak cik telah masuk ke dalam tubuh Madurai Kaala. …”

Si pemuda memandang wajah si kanak-kanak. Kanak-kanak berkenaan membalas pandangan itu dengan sebuah senyuman yang menampakkan kesungguhannya dalam memberikan pandangan tadi.

Kemudian dipandangnya pula Madurai Kaala sekali lagi. Lembu berkenaan masih merenung ke arahnya sambil sesekali menggerakkan kepala seperti mengangguk.

Ah! Kanak-kanak memang memiliki imaginasi yang tinggi, pemuda itu memutuskan dalam hati.

“Pak cik tak percaya kata-kata saya?”

“Sudahlah tu.”

Si pemuda mengelus rambut kanak-kanak berkenaan sedang hatinya masih sedikit berdebar-debar mengingatkan kata-kata budak kecil itu sebentar tadi.

“Bagaimana keadaan awak sekarang? Awak yang dipatuk ular pada petang Sabtu, bukan?”

“Eh! Tak adalah, pak cik. Mana pula saya dipatuk ular?” Jawab si budak yang sudah semakin mesra.

“Mungkin abang awak …?”

“Tak adalah!”

Si pemuda tergamam. Fikirannya ternyata melayang kembali kepada kejadian pada petang Sabtu lalu.

“Bukankah bapa awak tergesa-gesa pulang kerana diberitahu bahawa awak dipatuk ular?”

“Tak adalah. Pak cik bermimpi agaknya.”

Pemuda itu terus tergamam.

“Hah! Itu pun bapa saya datang. Kalau pak cik tak percaya, cuba tanya sendiri kepada bapa saya.”

Pada saat itu, si ayyer sudah pun masuk ke dalam kuil dan berdiri tidak jauh dari anaknya. Dia kelihatan agak gelisah melihat anaknya sedang berbual bersama pemuda yang berambut keriting itu.

“Err … lembu tu dah agak jinak ya, Ramani,” katanya bagi memulakan perbualan.

Si pemuda tidak segera menjawab. Sebaliknya dia merenung tajam dan penuh tanda tanya ke arah si sami tua. – Bersambung minggu depan

Bahagian terdahulu

Uthaya Sankar SB boleh dihubungi menerusi e-mel [email protected] untuk sebarang komen bagi ‘memurnikan’ novel ‘Panchayat: Edisi Khas’ dari aspek kesilapan bahasa, kesalahan fakta dan perkara yang mungkin menyentuh sensitiviti kaum sepanjang ia disiarkan secara bersiri di FMT.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments