Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Panchayat: Bahagian 37 – Senthamarei

 | October 9, 2011

“Ini tahun 1960, bukan 1860. Awak pula masih percaya pada hantu dan roh,” kata Senthamarei kepada Sitambaram.

FEATURE

“Tentu saya mangsa seterusnya,” kata Sitambaram dengan suara gelisah yang ternyata lahir daripada perasaan yang sama.

Ini bukanlah kali pertama dia menyatakan demikian. Sejak tiga orang rakan karibnya meninggal dunia secara berturut-turut baru-baru ini, Sitambaram mula terasa bimbang.

Dia berpendapat bahawa Raja yang membunuh rakan-rakannya. Tentu sekali andaian seumpama itu tidak dapat diterima akal kerana semua orang tahu bahawa Raja sudah meninggal dunia dan mayatnya ditemui di hadapan kuil Maha Kaali, tiga hari lalu.

Malah, jenazah pemuda itu sudah dibakar menjadi abu dalam suatu upacara kecil yang hanya dihadiri sekumpulan kecil penduduk Kubur Gajah.

“Awak jangan fikirkan yang bukan-bukan. Raja dah mati, bukan?” Tanya saya; juga bagi kali yang entah keberapa.

Jemu juga saya melayan kerenah Sitambaram sejak sehari dua ini. Macam-macam andaian yang diungkitkan. Andaian yang paling melucukan adalah bahawa roh mendiang Raja yang membunuh Kim Seng dan Mahmood!

“Kita berada dalam zaman moden sekarang. Ini tahun 1960, bukan 1860. Awak pula masih percaya pada hantu dan roh.”

Akan tetapi, jika difikirkan, kebimbangan Sitambaram adalah berasas juga. Dia dan rakan-rakannya yang melihat perbuatan Raja mencuri berhala emas Kaali Devi pada malam hari Sabtu.

Sejak itu, seorang demi seorang daripada mereka mula menemui ajal secara penuh tragik.

Namun begitu, saya percaya kematian mereka bukan pembunuhan. Apatah lagi untuk mengatakan bahawa Raja yang melakukan kesemua pembunuhan itu!

“Tapi, Senthamarei … cuba awak sendiri fikirkan. Kami berempat yang menjadi saksi dalam perbicaraan di panchayat tempoh hari. Sejak itu, seorang demi seorang mula mati secara misteri. Saya pasti akan menjadi mangsa seterusnya.”

Saya teringin untuk mentertawakan kebimbangan Sitambaram pada waktu itu. Namun begitu, saya menahan tawa. Cuma, saya tidak dapat mengelakkan diri daripada ketawa dalam hati sementara wajah saya terus dipelihara agar tetap kelihatan serius.

“Jadi, awak mengatakan bahawa mereka sebenarnya dibunuh?” Saya bertanya setelah berjaya mengawal sepenuhnya tawa dalam hati.

Sitambaram memandang saya dengan mata bulat tidak berkelip bagaikan memujuk saya agar menerima pandangannya tanpa bantahan. Keningnya terangkat sedikit. Perutnya yang membuncit pula bergerak ke atas dan ke bawah mengikut rentak ayunan kaki.

“Kim Seng dan James … memang saya akui. Awak sendiri sudah mengatakan bahawa kematian mereka bukan disebabkan kerana dibunuh –”

“Benar,” sampuk saya dengan perasaan lega kerana sekurang-kurangnya Sitambaram sudah menerima hakikat bahawa kematian dua orang rakannya itu adalah akibat kemalangan. “Balai polis di Taiping juga sudah menerima kenyataan rasmi itu. Malah, fail kes tentang kematian James, Kim Seng dan Mahmood sudah pun ditutup.”

“Itulah yang membuatkan saya risau.”

Sangsi

Sitambaram menghentikan langkahnya. Saya turut berhenti di sisinya. Saya dapati wajahnya kembali gelisah. Mukanya pula berpeluh. Mungkin kerana cuaca panas pada petang ini.

“Kenapa pula?”

“Kim Seng … saya akui. Dia memang sah mati akibat tertembak diri sendiri di dalam hutan rizab di belakang kuil.”

“Ya, benar.” Saya meneruskan perjalanan menuju ke kuil. “Awak jangan pula mengatakan kawan awak tu dibunuh orang … atau roh.”

“Tak, tak,” katanya pantas sambil turut berjalan di sebelah kanan saya. “Walaupun Kim Seng seorang pemburu yang handal, tidak mustahil dia tertembak diri sendiri. Dia mati akibat kemalangan. Bukankah awak sendiri berpendapat demikian di panchayat hari itu?”

Saya tersenyum lega. Baguslah kerana dia sudah bersedia untuk menghadapi kenyataan berhubung kematian rakannya. Sekurang-kurangnya tidak perlulah lagi saya membazir masa memujuknya agar menerima hakikat itu.

“Kematian James Arivalahan memang ganjil. Tapi saya sedar bahawa kematiannya adalah akibat ditanduk lembu pelaganya. Kalau difikir-fikirkan, tidak hairanlah Madurai Kaala membunuhnya. James memang sentiasa mendera lembu itu.”

“Bagus! Baguslah jika awak sudah berfikiran jernih sekarang. Jangan susahkan diri dengan memikirkan perkara yang bukan-bukan.”

“Tapi ….”

“Alamak! Apa pula kali ini?” Saya menyoal dengan sedikit kecewa dan gelisah kerana bimbang kalau-kalau Sitambaram akan mula membuat andaian-andaian yang baru pula berhubung punca kematian rakan-rakannya.

“Bukankah Mahmood tu perenang yang handal? Dia dulu pernah menjadi penyelam di laut dekat Pangkor. Dia boleh menyelam selama tiga puluh minit tanpa timbul ke permukaan air untuk menyedut udara.”

“Alamak!” Saya sudah dapat mengagak apa yang mahu Sitambaram katakan kali ini. “Apa kena dengan awak ni?”

“Yalah. Mahmood perenang yang handal. Macam mana dia boleh mati lemas? Tentu ada perbuatan khianat.” – Bersambung minggu depan

Bahagian terdahulu

Uthaya Sankar SB boleh dihubungi menerusi e-mel [email protected] untuk sebarang komen bagi ‘memurnikan’ novel ‘Panchayat: Edisi Khas’ dari aspek kesilapan bahasa, kesalahan fakta dan perkara yang mungkin menyentuh sensitiviti kaum sepanjang ia disiarkan secara bersiri di FMT.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments