Harga terus naik, roti bakar kini RM2!
Harga makanan terus naik tetapi kita tiada pilihan, kalau lapar, kenalah makan, kenalah bayar biasanya bayar lebih.
Pagi tadi ketika menunggu di kaunter bayaran restoran, terdengar rungutan seorang wanita mengenai kenaikan harga roti bakar yang baru dimakan.
Menyangka harganya RM1.60, dia menghulurkan RM2 dan menunggu bakinya dipulangkan tetapi juruwang tidak mengendahkannya.
“Mana duit baki?” tanyanya.
“Roti bakar RM1.80, campur GST dan harga beg plastik, dah cukup RM2,” jawab juruwang tersebut.
Mengeluh dengan kenaikan 20 sen, wanita itu menggelengkan kepala. Kebetulan saya berada di belakangnya, dia pun menyuarakan rasa tidak puas hatinya.
“Semalam RM1.60 hari ini sudah RM1.80. Sekelip mata dah naik 20 sen. Harga roti tak naik pun, harga kaya dan mentega pun tak naik. Harga makanan naik, macam tak ada ‘brake’,” katanya.
“Tapi kak mungkin sebab harga minyak naik kot. Nak buat macam mana, kena makan, kena bayar jugalah,” respons saya sambil membayar RM1.50 (termasuk GST) untuk sepotong buah betik.
Harga makanan khususnya di bandar utama dan kawasan sekitar pejabat, tak payah sebutlah. Mahalnya, kalau poket kurang RM20, memang kena berlaparlah sepanjang hari.
Membawa makanan dari rumah, fikir semula kos bahan mentah, minyak, gas, masa yang habis di dapur, baki makanan yang akan dibuang, hmm… sama sahaja.
Memang secara literal harga makanan semuanya sudah naik, daripada bahan mentah hinggalah makanan siap dimasak.
Berbeza dengan barangan lain, peralatan rumah, dapur dan sebagainya masih ada peluang untuk membeli pada harga murah ketika ada “sale”.
Cadar tilam misalnya, set untuk saiz Queen dijual pada harga RM59.90 (selepas diskaun). Murah tak?
Maknanya jika ada “sale” atau diskaun, kita masih mampu membeli barang tertentu pada harga berpatutan tetapi bukan makanan kerana harganya tak pernah ada potongan.
Maklumlah sepinggan mi segera goreng biasa sahaja boleh mencecah RM6.50; segelas teh susu pula RM3.50; dan nasi putih, sayur serta seketul ayam sahaja sudah RM9.00. Wajarkah harga ini?
Jika restoran menggunakan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi, boleh membeli bahan mentah secara pukal, pada harga pebih murah, perlukah harga makanan siap dimasak dinaikkan berkali ganda?
Mungkin juga pihak peniaga ada alasan seperti sewa premis dan upah pekerja.
Saya pernah diberitahu, perniagaan menjual minuman antara yang paling menguntungkan kerana keuntungannya melebihi 150%. Baguslah kalau dapat untung besar jual air tetapi bila jual makanan berpada-padalah.
Saya cuma nak bayangkan, makcik tukang cuci di tempat saya misalnya yang bergaji mungkin sekitar RM1,500, berapa banyak yang perlu dibelanjakan untuk makan minum? Berapa banyak duit yang dibawa pulang nanti kalau sepinggan nasi atau masakan goreng sahaja boleh mencecah RM6.
Satu kajian pada 2014 mendapati lebih 94% isi rumah berbelanja lebih untuk makanan berbanding perbelanjaan lain.
Mereka yang berpendapatan di bawah RM2,000 membelanjakan lebih 38% daripada perbelanjaan bulanan untuk makanan.
Kenaikan harga barang yang ketara sejak 2010 hingga sekarang menyumbang kepada kenaikan kos ini.
Ehem, tidak dilupakan pelbagai polisi kerajaan (GST, beg plastik) dan harga bahan api.
Apapun masalah kenaikan harga barang mentah dan makanan bukanlah masalah di negara ini sahaja, ketika “Google” baru tahu satu dunia sedang menghadapi krisis ini.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Apa nak buat, kalau nak isi perut dengan makanan yang selamat dan bersih, kenalah bayar amaun ditetapkan. Nasiblah!