Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

Leisure Home LBoard

Juruterbang aktif bersukan kongsi kisahnya hidapi kanser

 | August 11, 2017

Bapa kepada 4 anak itu menyangka dirinya bebas kanser sehingga doktor mendapati masih terdapat sel-sel kanser yang aktif berhampiran hati dan paru-parunya.

juruterbang12

fmt-ohsem-inside-article1“Jika anda menghidap kanser, jangan berahsia dan jangan menderita sendirian,” kata pesakit kanser Ahmad Zaki Mohd Suhaimi.

Sebagai seorang juruterbang, beliau aktif sepanjang masa. Bermain skuasy, berenang, menyertai triathlon dan larian adalah antara aktiviti kegemarannya, malah tidak pernah terlintas di fikirannya, suatu hari nanti beliau akan mendengar 3 patah perkataan yang paling menyakitkan iaitu ‘anda menghidap kanser’ daripada doktornya pada Mac 2015.

Ahmad Zaki, 45, berkongsi dengan Bernama, kisah perjalanan hidupnya sejak didiagnos menghidap kanser kolorektal dan betapa pentingnya untuk menjalani pengesanan dan pemeriksaan awal.

“Gejala awal bermula dengan sembelit dan pendarahan rektum pada Disember 2014 tetapi saya tidak menghiraukannya untuk seketika kerana sibuk dengan penerbangan, berlari dan berbasikal. Kemudian apabila kembali ke Kuala Lumpur, saya mula berasa tidak selesa, menjangka ada sesuatu yang tidak kena dengan kesihatan, saya segera membuat temu janji dengan doktor di Seremban.

“Dia memeriksa dan memberitahu ‘ada sesuatu’, dan saya perlu menjalani kolonoskopi. Prosesnya tidak menyakitkan tetapi sedikit tidak selesa. Kemudian doktor beritahu saya mungkin mempunyai masalah yang serius. Ia mungkin kanser,” kata juruterbang Etihad Airways itu ketika ditemui di ‘Wear it Blue Forum’ di sini baru-baru ini.

Ahmad Zaki teringat bagaimana doktor melakukan pelbagai ujian lanjutan dan menjelaskan secara mendalam mengenai penyakit yang dihadapinya sebelum mengesahkan diagnosis.
Menurut American Cancer Society, kanser kolorektal adalah kanser yang bermula pada kolon atau rektum. Kanser itu dinamakan kanser kolon atau kanser rektum, bergantung di mana ia bermula.

Kebanyakan kanser kolorektal bermula sebagai satu tumbuhan yang dipanggil polip pada lapisan dalam kolon atau rektum. Sesetengah jenis polip boleh bertukar menjadi kanser setelah beberapa tahun tetapi tidak semua demikian.

Ahmad Zaki memberitahu, beliau langsung tidak menyangka bagaimana boleh menghidap kanser sedangkan beliau sentiasa aktif dan tidak ada sejarah penyakit kanser dalam keluarganya.

“Tetapi, perkara ini (kanser) tidak memilih sama ada anda sesuai atau tidak, dan ia tidak berlaku semalaman. Saya melalui 3 pembedahan sejak itu dan menjalani kehidupan dengan beg kolostomi dan air kencing pada tubuh selama 6 bulan,” katanya yang menghidapi kanser tahap ke-3.

Bapa kepada 4 anak itu menyangka dirinya benar-benar ‘bebas’ daripada kanser sehingga doktor mendapati masih terdapat sel-sel kanser yang aktif berhampiran hati dan paru-parunya selepas pemeriksaan tomografi emisi positron (PET) yang dilakukan pada awal bulan Februari lepas.

Ahmad Zaki tetap positif dan tabah. Beliau perlu menghadiri 5 lagi sesi kemoterapi dan sementara itu beliau sentiasa melibatkan diri dalam aktiviti sukan dan menikmati pelbagai makanan kegemarannya.

“Terima kasih kepada keluarga dan kawan-kawan yang sangat menyokong saya selama ini. Ada yang kata ‘kesian’, tetapi bukan ‘kesian’ yang mereka mahu, hanya bercakap dengan mereka sudah cukup, maksud saya jangan biarkan mereka sendirian,” kata Ahmad Zaki.

Pakar Bedah Am dan Kolorektal di Hospital Pantai Kuala Lumpur Datuk Dr Meheshinder Singh berkata walaupun kanser kolorektal menjadi kebimbangan utama orang ramai namun ia boleh dicegah dan dapat dirawat sekiranya dikesan pada peringkat awal.

“Malang sekali kerana kebanyakan kes kanser kolorektal hanya dirujuk kepada kami ketika tahap akhir, ia adalah kanser ke-2 yang paling biasa di Malaysia pada masa kini yang juga kanser nombor satu dihidapi kaum lelaki dan kedua dalam kalangan wanita.

“Amat menyedihkan keadaan ini berlaku dalam sebuah negara yang mempunyai akses penjagaan kesihatan yang baik namun pesakit hanya mendapatkan rawatan ketika tahap akhir, oleh itu perlu ada teknik saringan pengesanan awal yang betul,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Meheshinder menasihati orang ramai untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan ujian darah dalam najis, ujian makmal yang digunakan untuk memeriksa sampel najis bagi mengesan tanda-tanda awal kanser kolorektal.

Malang sekali, walaupun seseorang seperti Ahmad Zaki yang menjalani gaya hidup sihat masih menghidapi kanser, namun amalan gaya hidup yang sihat tetap penting.

Dietitian Kanan di Hospital Pantai Kuala Lumpur Ong Min Ying berkata gaya hidup sihat mampu mengubah kehidupan seseorang.

“Pastikan berat badan sentiasa dalam lingkungan yang sesuai dan sihat, kerana obesiti meningkatkan risiko kanser dan sasaran untuk Indeks Jisim Badan Malaysia yang sesuai adalah antara 18.5 hingga 22.9. Selain itu, pastikan ukuran lingkar pinggang anda lebih rendah daripada 90cm untuk lelaki dan 80cm untuk wanita,” katanya.

Ong menegaskan akan keperluan untuk pengambilan makanan berserat tinggi, mengehadkan pengambilan alkohol, aktif secara fizikal, hadkan makan daging merah dan hindari daging yang diproses untuk mengurangkan risiko kanser.

“Cuba gunakan kaedah memasak dengan suhu rendah, bakar atau stim makanan anda dan elakkan kaedah memanggang atau menggoreng,” katanya.

Ong juga menyarankan agar setiap orang mengamalkan minum 7 hingga 8 gelas air kosong setiap hari untuk kekal sihat.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments