Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

Leisure Home LBoard

Nestle Singapura tekad kurangkan gula, garam dalam produknya

 | August 11, 2017

Purata rakyat Singapura mengambil sekitar 9 gram garam sehari iaitu 4 gram lebih tinggi daripada yang disyorkan para pakar kesihatan.

nestlefmt-ohsem-inside-article1Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Nestle di Singapura komited untuk mengurangkan kandungan gula dan garam dalam produknya menjelang 2020.

Syarikat pengeluar makanan dan minuman itu merancang mengurangkan kandungan gula 5% dan garam 10% dalam tempoh 3 tahun akan datang.

Dr Tan Sze, Pengarah Urusan Pusat R&D Nestle Singapore berkata, Nestle membuat komitmen itu selaras dengan matlamatnya untuk “meningkatkan kualiti kehidupan serta memberi sumbangan kepada masa hadapan lebih sihat.”

Pusat R&D Nestle Singapore adalah antara 40 pusat R&D yang ditubuhkan oleh Nestle di seluruh dunia untuk memperbaiki rasa, keselamatan serta kualiti semua produknya.

Ia juga bertanggungjawab untuk pembangunan produk peringkat global dan serantau bagi jenama Milo, Nescafe, Maggi dan Nestle.

Menurut Tan, keperluan untuk mengurangkan kandungan gula dalam produknya semakin penting sekarang memandangkan penduduk warga tua Asia diramalkan mencecah hampir satu bilion menjelang 2050.

“Rantau ini akan mempunyai jumlah warga tua paling ramai di dunia dalam beberapa dekad akan datang,” beliau memberitahu pemberita pada program lawatan media ke Pusat R&D itu baru-baru ini.

Menurut Tan, di samping gula, Nestle sedang mengkaji kandungan garam dalam produknya kerana menurut Lembaga Promosi Kesihatan Singapura, purata rakyat Singapura mengambil sekitar 9 gram garam sehari iaitu 4 gram lebih tinggi daripada yang disyorkan para pakar kesihatan.

Pengarah Pemasaran dan Komunikasi Nestle Singapore, Phee Chat Chow berkata, syarikat itu merancang mengadakan kerjasama dengan Lembaga Promosi Kesihatan Singapura untuk mewujudkan lebih kesedaran dalam kalangan rakyat Republik ini mengenai pentingnya mengurangkan pengambilan harian gula dan garam.

Phee berkata, tugas itu memerlukan usaha bersama dan sukar untuk Nestle mendidik rakyat Singapura mengenai perkara itu secara bersendirian.

Di Singapura, diabetes adalah punca utama kedua morbiditi dan kematian. Republik ini mempunyai lebih 400,000 pesakit diabetes dalam peringkat pra-diabetes dan berisiko mendapat penyakit itu.

Perdana Menteri, Lee Hsien Loong dalam perutusan Hari Kebangsaannya Selasa lepas turut menyentuh isu diabetes.

Beliau menyatakan satu daripada punca memburukkan kesihatan golongan tua ialah diabetes. Hampir satu pertiga daripada rakyat Singapura berusia lebih 60 tahun menghidap diabetes.

“Kita mempunyai doktor dan hospital yang bagus tetapi lebih elok untuk kita hidup sihat dan tidak perlu langsung pergi ke hospital.

“Rakyat Singapura semakin hidup lebih lama tetapi warga tua kita mengalami purata 8 tahun kesihatan yang lemah di hujung usia mereka. Lapan tahun satu tempoh yang panjang dan boleh menjadi beban kepada keluarga,” katanya.

“Pada awalnya diabetes adalah penyakit yang tidak boleh dilihat tetapi selepas beberapa ketika, kesannya amat teruk kerana ia boleh mengakibatkan buta, penyakit jantung, kegagalan buah pinggang dan amputasi kaki. Itu sebabnya mengapa kita mesti memerangi diabetes,” katanya dalam perutusan berkenaan.

“Ia bukan sahaja mengenai kemudahan hospital serta rawatan yang lebih baik. Ia juga bergantung kepada pilihan peribadi serta gaya hidup untuk mencegah diabetes.”

Dalam menggesa rakyat Singapura mengambil tanggungjawab menjaga kesihatan mereka, Lee berkata mereka perlu berusaha menjaga pemakanan, kerap bersenam dan minum air kosong berbanding minuman ringan.

Beliau berkata, gaya hidup seumpama itu perlu bermula dari usia muda dan langkah itu boleh membantu mengurangkan risiko diabetes dan membolehkan seseorang itu kekal sihat dan hidup dengan tenteram.

 


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments