Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

Leisure Home LBoard

Pernah digelar “monster”, gadis ini mahu jadi ratu cantik

 | September 11, 2017

Evita pernah diejek "monster" dan "Chipsmore" tetapi kini disenaraikan sebagai salah seorang daripada 50 peserta bagi saringan awal pertandingan ratu cantik Miss Universe Malaysia 2018.

Evita-Patcey-Edgar-Delmundofmt-ohsem-inside-article1Definisi cantik berbeza pada pandangan mata setiap individu, tetapi keyakinan yang ditampilkan itulah sebenarnya memberi nilai kepada kecantikan sebenar seseorang.

Sama ceritanya dengan wanita kacukan Rungus-Filipina bernama Evita Patcey Edgar Delmundo, 20, yang pernah melihat dirinya sebagai bahan buli kerana masalah dialami pada kulitnya.

Namun, dengan keyakinan dan sokongan berterusan ahli keluarga, Evita yang suatu masa dahulu diejek sebagai “monster” dan “Chipsmore” kini disenaraikan sebagai salah seorang daripada 50 peserta bagi saringan awal pertandingan ratu cantik Miss Universe Malaysia 2018.

Evita yang berasal dari Kudat, Sabah berhadapan masalah tanda kelahiran yang dikenali “birth mark” pada seluruh badan termasuk wajahnya.

Tahi lalat dalam pelbagai saiz dan bentuk yang memenuhi dirinya dan menyebabkan dia selalu menjadi bahan perhatian untuk tujuan yang salah.

Menurut portal Elle.com, Evita belajar menerima diri seadanya selepas sedar sebarang usaha untuk menghapuskan tahi lalat itu mungkin akan memberi kesan tidak baik kepada kesihatannya.

“Saya bersyukur kerana tidak mengubah apa-apa.

“Kepada mereka yang memberi komen negatif, saya tidak hiraukannya kerana saya hanya mahu menjadi diri sendiri. Saya tidak rasa kita perlu memberi reaksi kepada negativiti. Lagipun pembenci tidak layak menerima perhatian saya,” katanya dalam satu temuramah kepada majalah itu.

Hari ini, keputusan dan keyakinan Evita membuktikan dirinya tidak kurang dari mana-mana gadis berwajah sempurna.

Evita dan keluarganya ternyata terkejut selepas mendapat tahu berita baik tersenarai dalam saringan awal Miss Universe Malaysia 2018 pada Jumaat lalu menerusi laman sosial rasmi pertandingan itu.

“Saya benar-benar tidak sangka disenaraikan sebagai 50 peserta awal. Ternyata keyakinan saya untuk menghadiri uji bakat pada Julai lalu berhasil.

“Saya akui dulu pernah menjadi mangsa buli oleh mereka yang menganggap tanda tahi lalat ini sebagai satu kecacatan, tapi lama-kelamaan saya semakin memahami diri sehingga menjadi lebih yakin seperti sekarang,” katanya seperti yang dipetik mStar Online.

Anak kedua daripada 5 beradik itu mempunyai lebih 34,000 pengikut di laman sosial Instagram dan dilihat sebagai idola remaja muda.

Semua ini, menurut Evita menjadi inspirasi bagi dirinya terus maju dan membawa diri kehadapan orang ramai secara lebih yakin.

Dia menyertai uji bakat pertandingan ratu cantik berprestij untuk terus menjadi contoh kepada masyarakat terutama mereka yang kurang yakin terhadap penampilan diri.

Ternyata langkah wanita berketinggian 160cm itu berhasil apabila namanya bukan sahaja dijulang dalam senarai saringan malah menerima pelbagai tawaran untuk menjadi model sambilan.

Ditanya mengenai hala tuju masa depan, Evita yang bekerja di sebuah kafe kucing berkata mahu menjadi guru tadika dan pakar motivasi.

Dia kini menunggu peluang untuk melanjutkan pengajian di universiti dalam bidang pendidikan dan kaunseling.

 


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments