Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

Leisure Home LBoard

Perpustakaan kena sempoi baru pelajar mahu lawat

 | September 12, 2017

Perpustakaan kelihatan lengang dan sepi, sekali sekala penuh pada minggu peperiksaan, mungkin kerana tidak menepati cita rasa generasi kini yang inginkan tempat yang lengkap dengan kemudahan.

library

fmt-ohsem-inside-article1Ekoran artikel FMT Ohsem berkenaan isu seorang pelajar di Singapura yang dihalau pelayan kafe Starbucks ketika sedang membuat assignment, kami menerima surat pembaca mengenai bagaimana perpustakaan boleh menjadi lebih menarik.

Ikuti coretan penulis, Pensyarah Kanan Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Muzaffar Syah Mallow:

“Sudah sampai masanya pihak pengurusan perpustakaan mengambil langkah lebih berani, kreatif dan inovatif bagi menarik minat orang ramai khususnya pelajar dan ahli akademik untuk berasa lebih selesa ‘lepak’ di perpustakaan.

Baru-baru ini pengguna media sosial didedahkan dengan berita melibatkan pelajar yang berkongsi ketidakpuasan hatinya apabila diminta mengemas dan memberi tempat kepada pelanggan lain ketika sedang belajar di sebuah kafe Starbucks di Singapura.

Dunia kini sudah berubah, generasi masa kini bertukar selera termasuk memilih tempat mengulangkaji pelajaran mereka. Perkara ini bukan sahaja berlaku di Singapura malah turut merebak ke serata dunia termasuk Malaysia.

Jika dilihat, pelajar termasuklah pensyarahnya lebih gemar masuk restoran makanan segera, kafe, kedai mamak bagi duduk lepak, berbincang hal tugasan dan kajian akademik serta mengulangkaji pelajaran.

Yang paling penting, tempat terbabit menyediakan kemudahan wifi laju. Berbeza dengan perpustakaan yang kelihatan lengang dan sepi, sekali sekala penuh pada minggu peperiksaan. Mungkin, generasi ini inginkan tempat lengkap dengan kemudahan, supaya memudahkan segala urusan mereka. Tempat duduk yang lebih selesa, alunan muzik, kemudahan televisyen, penghawa dingin, makanan dan minuman.

Perpustakaan mempunyai peraturan dan undang-undang yang melemaskan pengunjung. Misalnya, tidak dibenarkan membawa masuk beg, halangan makan dan minum, tandas yang kurang sempurna, tempat makan yang jauh dari tempat mengulangkaji dan sebagainya.

Selain itu, lokasi perpustakaan yang jauh dari kediaman juga menjadi faktor penentu utama kurangnya daya tarikan.

Oleh itu, bagi menarik minat semua untuk terus menggunakan perpustakaan, pihak pengurusan perpustakaan harus mengambil pendekatan yang lebih berani, kreatif dan inovatif.

Turun padang ke semua lokasi yang menjadi pilihan generasi muda untuk mengulangkaji pelajaran serta ambil langkah melakukan proses penambahbaikan terhadap perpustakaan sedia supaya setanding dengan lokasi pilihan orang ramai.

Perpustakaan berperanan penting melahirkan masyarakat berilmu, namun segala bentuk sistem yang dimiliki dan tahap pengurusan perlu memenuhi cita rasa dan gerak hidup semasa, bukan generasi pra-millenium.”

Pendapat penulis ini ada rasionalnya. Seperti kata penulis, sudah tiba masanya pengendali dan pengurusan perpustakaan melakukan sedikit perubahan demi menarik pelajar menggunakan kemudahan tersebut.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments