Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Hanya pandangan peribadi – Khalid

 | January 5, 2011

Mohamad Munir hanya kemuka pandangan peribadi dan bukan mewakili pendapat baginda

SHAH ALAM: Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani semalam hanya pandangan peribadi dan bukan mewakili pendapat baginda.

Beliau berkata, Sultan memahami kemelut ini memandangkan krisis perlembagaan yang berlaku pada 1993 jelas menunjukkan kuasa
baginda serta menteri besar telah ditarik balik.

Menurut Khalid, beliau bukan menolak kenyataan Mohamad Munir itu namun sejarah telah tertulis dan mengatakan bahawa berlaku
dalam pindaan dalam Undang-undang Tubuh Negeri Selangor yang memusatkan kuasa kepada persekutuan.

“Saya bukan menolak kebenaran….itu hanya pendapat Mohamad Munir. Setiap kenyataan saya berdasarkan sejarah telah berlaku.

“Sultan memahami keadaan ini dan kami telah berbincang mengenai kesan pindaan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor,” katanya
selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Bangunan SUK di sini hari ini.

Khalid menambah, “jika secara logiknya…..krisis perlembagaan pada tahun 1993 itu jelas menunjukkan Sultan mahupun Menteri Besar tidak mempunyai kuasa di atas pelantikan tiga pegawai eksekutif iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-undang Negeri.”

Pada Isnin lalu, Khalid telah bertemu Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk membincangkan isu pelantikan SUK yang kini dijawat oleh
Datuk Mohamad Khusrin Munawi.

Semalam media melaporkan, Mohamad Munir berkata baginda menitahkan tindakan Khalid berbincang dan memilih calon-calon lain bagi jawatan SUK adalah tidak wajar.

Menurut Mohamad Munir, Sultan Selangor telah menitahkan Menteri Besar mengadakan perbincangan pemilihan calon dengan baginda sebelum nama calon-calon itu dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

“Bukannya berbincang selepas jawatan SUK Selangor telah diperkenankan oleh baginda dan telah diisi oleh calon yang berkenaan,”
katanya yang dipetik daripada kenyataan tersebut.

Selangor lantik ahli panel pilih calon

Khalid berkata beliau telah melantik Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Datuk Teng Chang Kim, Ahli Dewan Undangan Negeri

(Adun) Gombak Setia Datuk Dr Hassan Ali dan Adun Sri Andalas Dr Xavier sebagai ahli panel bagi memilih calon SUK.

Sebaliknya kata beliau, seorang penjawat awam negeri telah bertindak mengemukakan senarai calon lain, tanpa pengetahuan dan tanpa merujuk kepadanya.

Menyedari sidang Dun yang akan diadakan bakal bertembung dengan pilihan raya kecil di Tenang, Khalid menjangkakan sidang hanya diadakan sehari sahaja.

“Keputusan mesyuarat exco tadi……mereka bersetuju untuk adakan sidang dewan lebih awal iaitu sambungan pada sidang yang terakhir. Saya jangka ia dibuat sehari sahaja. Maka tiada masalah mengenainya,” jelasnya.

Beliau berkata, dua individu telah dilantik sebagai penasihat undang-undang. Mereka ialah peguam Datuk Param Cumaraswami dan juga pakar perlembagaan Prof Abdul Aziz Bari.

“Kepakaran mereka diperlukan bagi membantu dalam memberi sebarang nasihat berhubung cadangan rang undang-undang yang bakal dibentang di sidang Dun akhir Januari ini,” katanya.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments