Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Dakwaan hina Sultan, Suhaimi tidak muncul di IPD Shah Alam

January 11, 2011

Suhaimi mengambil keputusan tidak hadir kerana polis hanya mengeluarkan arahan secara lisan sahaja dan bukannya notis rasmi mengikut prosedur yang betul.

PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Muda Suhaimi Shafiei yang dijangka memberi keterangan polis berhubung dakwaan menghina Sultan Selangor hari ini tidak muncul di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Sebaliknya beberapa pemimpin PKR serta kira-kira 200 penyokong hadir di perkarangan IPD Shah Alam mengiringi pembantunya Azmizam Zaman Huri mengadakan pertemuan dengan pegawai polis bagi berbincang dan menjelaskan  perkara sebenar.

Antaranya Naib Presiden PKR Tian Chua, Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Dr Xavier Jeyakumar, Naib Ketua Wanita PKR Haniza Talha dan Gan Pei Nei serta Timbalan Ketua AMK Khairul Anuar Ahmad Zainuddin.

Azmizam bersama Ketua PKR Cabang Pandan Zakaria Rahim dan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Lee Khai Loon mengadakan pertemuan selama sejam dengan pegawai penyiasat kira-kira pukul 2 petang.

Dalam pertemuan itu, Azmizam antaranya meminta polis mengikut prosedur yang betul dengan mengeluarkan Notis 111  dibawah Kanun Acara Jenayah jika mahu memanggil Suhaimi untuk mendapatkan keterangan.

“Suhaimi mengambil keputusan tidak hadir kerana polis sebelum ini hanya mengeluarkan arahan secara lisan sahaja dan bukannya notis rasmi mengikut prosedur yang betul.

“Hasil perbincangan tadi, polis sudah bagi jaminan akan mengeluarkan Notis 111 CPC untuk memanggil Suhaimi supaya memberi keterangan dalam masa terdekat.

“Kemudian beliau akan hadir diiringi peguam yang juga Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin,” katanya ketika dihubungi
FMT.

Azmizam yang juga Naib Ketua AMK turut membuat laporan polis mengenai kain rentang yang digantung di beberapa kawasan sekitar Shah Alam yang menunjukkan Pakatan Rakyat mempertikaikan kuasa Sultan Selangor mengenai isu pelantikan Datuk Mohamed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri.

Antara kain rentang tersebut tertulis “Di manakah Keadilan Sultan Dalam isu pemilihan SUK Siapa Lebih Berhak?” disertai bendera ketiga-tiga parti gabungan Pakatan serta tertulis biro penerangan PKR Selangor.

Azmizam sebaliknya mendakwa kain rentang tersebut bukannya digantung oleh Pakatan Rakyat tetapi ada individu tertentu yang cuba menjadi dalang untuk menjatuhkan pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor.

“Hasil laporan tersebut, polis telah memberi jaminan kepada kami untuk menyiasat perkara secepat mungkin,” katanya.

Turut baca:

Pakatan nafi gantung kain rentang tolak campurtangan sultan


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments