Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Bekas Pengurus Besar Kanan Sime Darby didakwa rasuah

 | January 12, 2011

Beliau ketika itu Pengurus Besar Kanan yang bertugas di Sime Darby Sdn Bhd di Pasir Gudang, Johor.

KUALA LUMPUR: Seorang bekas Pengurus Besar Kanan Sime Darby Engineering Sdn Bhd hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen  atas dua pertuduhan rasuah berjumlah RM92,980 untuk membantu mempercepatkan dan meluluskan kontrak bagi satu projek pembangunan di Johor.

Ini adalah tuduhan yang ketiga dan keempat yang dihadapi Mohd Zaki Othman, 48, selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Johor pada 3 Januari lalu atas tuduhan menerima rasuah.

Bagi pertuduhan pertama, Zaki didakwa meminta suapan seutas jam tangan berjenama IWC berjumlah RM32,980 daripada seorang kantraktor pada pukul 1.30 petang 13 Mac 2009 sebagai upah kononnya untuk membantu syarikat milik kontraktor terbabit memperolehi surat tawaran  bagi subkontrak projek kluster pembangunan fasa 1 Kumang & Tangga Barat.

Beliau  ketika itu Pengurus Besar Kanan yang bertugas di Sime Darby Sdn Bhd di Pasir Gudang, Johor didakwa melakukan kesalahan terbabit di Hour Glas Sdn Bhd, Lot G1, tingkat bawah, Lot10, S.C, Jalan Sultan Ismail, di sini.

Zaki didakwa di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24 akta yang sama.

Beliau jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda daripada nilai suapan atau sepuluh ribu, mengikut mana-mana yang tinggi.

Bagi pertuduhan kedua, Zaki pada 15 Mei 2009 pada 10 pagi d ialamat yang sama, sebagai seorang ejen kepada Sime Darby Holding Berhad menerima suapan sebuah jam tangan berjenama Hublot berjumlah RM60,000 daripada seorang kontraktor sebagai upah.

Upah tersebut kononnya dapat membantu untuk melulus  dan mempercepatkan tuntutan bayaran kemajuan berhubung sebuah kontrak bagi subkontrak projek yang sama.

Beliau didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum d ibawah Seksyen 24 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan beliau boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10, 000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) SPRM , Nik Azrin Nik Abdullah mencadangkan ikat jamin ke atas tertuduh sebanyak RM20,000.

Peguambela Vijaya Sandran pada mulanya memohon agar jumlah ikat jamin dikurangkan sehingga RM5,000 atas alasan tertuduh telah diberhentikan kerja oleh Sime Darby bulan lalu dan telah memulangkan semula jam terbabit kepada pengadu.

Namun Hakim Rozillah Salleh mengekalkan jumlah ikat jamin bagi kedua-dua pertuduhan seperti yang dicadangkan DPP.

Hakim turut menetapkan 11 Februari depan sebagai sebutan semula kes.

Dalam pada itu, hakim juga mengarahkan agar media tidak mendedahkan butiran nama dan syarikat milik kontraktor pengadu terbabit kerana beliau dilindungi ‘akta perlindungan saksi’ di bawah akta SPRM.

Selain itu, Zaki hari ini juga dijangka menghadapi pertuduhan kelima di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan  rasuah bernilai RM30,600.

Zaki merupakan individu ketiga dari Sime Darby Berhad yang didakwa di mahkamah sejak pendedahan mengenai kerugian RM2.1 bilion konglomerat itu pada Mei tahun lalu

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Mohd Zaki  mengaku tidak bersalah di atas tuduhan  meminta suapan sebanyak RM30,600 daripada seorang kontraktor.

Beliau  didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 28 November 2007  sebagai dorongan untuk membantu kontraktor terbabit mendapatkan surat tunjuk hasrat di Europe Asia Furniture Expo Sdn Bhd, No 15A, Jalan Universiti, Petaling Jaya.

Zaki meminta jumlah suapan tersebut bagi bayaran set perabot iaitu sebuah set sofa import model R087, sebuah set meja makan  Dossier set Marble Top, seunit model perabot import Cleopatra 301 dari syarikat Europe Asia Furniture Expo Sdn Bhd daripada kontraktor terbabit.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 10(a) (aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum d ibawah Seksyen 16 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan beliau boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada 14 hari dan tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, atau mana yang lebih tinggi.

Hakim Mat Ghani Abdullah mengarahkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 bersama seorang penjamin atas cadangan Timbalan Pendakwa Raya (DPP), SPRM Nik Azrin Zairin Nik Abdullah.

Namun hakim mengarahkan pihak media supaya tidak menyiarkan butiran nama dan syarikat kontraktor terlibat yang juga pengadu bagi kes ini kerana individu tersebut dilindungi sebagai saksi mengikut Akta SPRM.

Hakim juga bersetuju dengan permohonan DPP untuk memindahkan kes ini ke Kuala Lumpur supaya pengurusan dan prosidingnya  dapat dilakukan serentak dengan pertuduhan kes di Kuala Lumpur yang akan disebut semula pada 11 Februari depan.

Sementara itu, Nik Azrin ketika ditemui pemberita berkata pihaknya juga pada 11 Februari depan akan membuat permohonan supaya pengurusan dan perbicaraan yang dihadapi Zaki di Mahkamah Sesyen Johor Bahru akan dijalankan serentak di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Mohd Zaki diwakili peguam Vijaya Sandran.

Zaki merupakan individu ketiga dari Sime Darby Berhad yang didakwa di mahkamah sejak pendedahan mengenai kerugian RM2.1 bilion yang ditanggung oleh firma perladangan konglomerat itu pada Mei tahun lalu.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments