Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Adun Lenggeng dipenjara 3 tahun

April 1, 2011

Mustafa Salim juga dikenakan denda RM20,000 kerana menerima rasuah.

SEREMBAN: Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Lenggeng Mustafa Salim, dipenjara tiga  tahun dan denda RM20,000 atau 12 bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen Seremban hari ini selepas didapati bersalah menerima rasuah RM2,000 daripada seorang kontraktor pada 2008.

Bagaimanapun, Hakim Amran Jantan membenarkan pelaksanaan hukuman penjara ditangguhkan sehingga rayuannya didengar di Mahkamah Tinggi.

Mustafa, 53, didakwa menerima suapan RM2,000 daripada M Manimaran sebagai dorongan mengeluarkan surat sokongan berkaitan projek pasir di Restoran Jahrin Maju, Taman Bunga Raya 2, Mantin, dekat sini pada 5 petang, 31 Ogos 2008.

Adun Barisan Nasional itu didakwa mengikut Seksyen 10(a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda lima kali ganda daripada jumlah suapan atau minimum RM10,000.

Mustafa yang berpakaian kemas kelihatan sugul ketika hakim menjatuhi hukuman itu dalam mahkamah yang dipenuhi oleh kaum keluarga tertuduh dan pengadu kes itu, Manimaran yang turut.

Terdahulu, Amran menolak rayuan peguam bela tertuduh yang meminta supaya mahkamah mengenakan hukuman ringan melalui jaminan bon dan syarat berkelakuan baik.

“Faktor utama dalam kes ini ialah kepentingan awam. Kesalahan ini sangat serius kerana ia dilakukan oleh orang yang berjawatan. Tidak wajar Orang Kena Tuduh (OKT) dilepaskan kerana kalau lepas, ia memberi gambaran mahkamah tidak serius,” katanya.

Pada 3 Nov tahun lepas, Mahkamah Tinggi Seremban memerintahkan tertuduh membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah yang dihadapinya selepas membenarkan rayuan pendakwaan.

Rayuan itu dikemukakan oleh pihak pendakwaan selepas tertuduh dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini atas semua pertuduhan pada 14 April tahun lepas tanpa diarah membela diri di akhir kes pendakwaan.

Pada 4 Mac lepas, Amran memutuskan Mustafa didapati bersalah atas satu tuduhan rasuah iaitu menerima RM2,000 daripada Manimaran dan membebaskannya dari dua lagi pertuduhan rasuah iaitu menerima suapan RM3,000 daripada pengadu melalui Mustafa Pendek di Lot 1321, Mukim Pantai, Seremban, pada 11 pagi, 28 Ogos 2008.

Tertuduh juga bebas dari dakwaan meminta suapan sebanyak RM2,000 daripada kontraktor yang sama di pejabat SPRM negeri di Jalan Datuk Klana Ma’amor di sini pada 9.05 malam, 30 Ogos 2008.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) negeri, Feza Fazlin Fandi sementara Mustafa diwakili peguam Feisal Mustapha dan Datuk Taqiyuddin Yahya.

- Bernama


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments